Jumaat, 30 April 2010

Senator Ezam gugat PKR


SHAH ALAM – Pelantikan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor sebagai senator dilihat sedikit sebanyak memberi kesan dan menjejaskan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.

Menurutnya, Ezam yang dilihat sebagai ‘musuh ketat PKR’ kini mempunyai platform atau ‘pasport’ yang rasmi sebagai senator di Dewan Negara.

“Saya yakin dengan pelantikan Ezam sebagai senator sedikit sebanyak memberi kesan kepada masa depan PKR dan juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas mengenai pelantikan Ezam sebagai Senator, Atory berkata, Yang di-Pertua Agong di atas nasihat Perdana Menteri berhak melantik sesiapa sahaja yang dirasakan layak untuk menjadi ahli dewan negara.

Malah, menurutnya, sebagai pemimpin muda UMNO yang berpotensi tinggi, mempunyai visi dan ketokohannya, Ezam berkelayakan dilantik sebagai wakil generasi muda di Dewan Negara untuk mengetengahkan masalah dan inspirasi generasi itu.

Ahmad Atory berkata, masa depan politik Ezam dalam UMNO juga dilihat cerah dan tidak mustahil dalam pemilihan UMNO akan datang, beliau juga akan tersenarai memegang jawatan dalam parti.

“Saya percaya Ezam boleh pergi lebih jauh dalam hierarki kepimpinan UMNO. Dalam usianya yang masih muda dan di atas sokongan Perdana Menteri tidak mustahil beliau menjadi ikon golongan muda di dalam UMNO.

“Apatah lagi dengan kelebihan berpidato, bertenaga dan pengalaman politiknya dalam UMNO dan PKR menjadikan masa depan politik Ezam cerah,” katanya.

Ahmad Atory juga membayangkan tidak mustahil pada pemilihan UMNO akan datang Ezam akan menerajui jawatan Ketua Pemuda UMNO atau Naib Ketua Pemuda UMNO.

Ezam adalah antara empat individu yang akan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara selain Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel, Pengerusi Eksekutif Rahim & Co., Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh, Noriah Mahat.

Mereka akan mengangkat sumpah jawatan untuk tempoh tiga tahun di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang pada Isnin ini.

Tiada ulasan: