Selasa, 15 Jun 2010

Allahyarham Hassan Shukri selamat dikebumi di Gombak

KUALA LUMPUR 15 Jun - Kira-kira 500 ahli dan pemimpin Pas hadir bagi menyertai solat jenazah bekas timbalan presiden parti itu, Hassan Shukri, 71, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, Gombak, dekat sini pagi ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke pekarangan Dewan Tarbiah Pas Pusat di Taman Melewar untuk disembahyangkan dan diimamkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pukul 9 pagi.

Turut hadir Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Selesai sembahyang, jenazah Allahyarham dibawa ke tanah perkuburan itu dan selamat dikebumikan pada pukul 9.40 pagi.

Allahyarham meninggal dunia akibat sakit jantung di Hospital Selayang pada pukul 2 petang semalam.

Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Kardiologi (CCU) hospital berkenaan pada sebelah pagi kerana mengadu sakit dada selepas pulang dari menyertai Muktamar Tahunan Pas Ke-56 di Kota Bharu, Kelantan, malam kelmarin.

Allahyarham meninggalkan isteri, Hamidah Abdul Mutalib dan lima anak perempuan serta seorang lelaki.

Sebelum memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden, Allahyarham pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung Pas.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh kerajaan Pas Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke-10 dan kekal memegang jawatan anggota Majlis Syura Pas sehingga meninggal dunia.

Tiada ulasan: