Selasa, 15 Jun 2010

BN ambil iktibar pilihanraya kecil Hulu Selangor, Sibu


NAJIB Tun Razak mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Barisan Nasional di Kuala Lumpur, malam tadi.


KUALA LUMPUR 15 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan mengambil iktibar daripada dua pilihan raya kecil yang dilalui sebelum ini membabitkan Parlimen Hulu Selangor dan Sibu.

Beliau berkata, ia sebagai azam melakukan penambahbaikan supaya BN bertambah kuat pada masa akan datang.

Sehubungan itu, menurutnya, satu konvensyen akan diadakan pada November ini bagi membolehkan semua parti komponen mengemukakan input untuk pembaharuan yang mampu dilaksanakan BN dalam segala aspek.

"Konvensyen itu akan diadakan selepas berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO.

"Menerusi konvensyen tersebut, jawatankuasa percambahan fikiran di bawah Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta wakil-wakil parti akan dibentuk untuk memberi input bagaimana BN boleh melakukan pembaharuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Turut hadir, Muhyiddin dan sebahagian besar presiden parti komponen BN.

Dalam dua pilihan raya kecil baru-baru ini, BN berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor namun gagal mengekalkan kerusi Parlimen Sibu.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, pembaharuan yang akan dikemukakan adalah juga sebagai persediaan BN untuk terus kekal memimpin negara.

"Dalam hal ini, kita perlu memahami keperluan semasa dan tidak bersandarkan kepada kejayaan-kejayaan lalu walaupun kejayaan itu diakui dunia.

"Kita perlu lihat masa depan," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa undang-undang anti lompat parti perlu digubal dan diperkenalkan, Najib berkata:

"Hari ini orang dia (pembangkang) lompat, baru sekarang dia nak bunyi. Masa dia curi orang kita, tidak ada pula dia berbunyi," katanya

Tiada ulasan: