IPOH 15 Jun – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, K. Keshvinder Singh keluar daripada DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas membuktikan pembohongan yang dilakukan pembangkang akhirnya memakan diri sendiri.
Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, beliau yakin keputusan tersebut dibuat atas dasar ‘muak’ dengan sikap para pemimpin tertinggi parti pembangkang yang mementingkan diri sendiri dan tidak memikirkan masa depan rakyat.
‘‘Mungkin dia sudah muak dengan gimik politik yang dilakukan oleh parti pembangkang, terlalu banyak penipuan. Kalau ADUN sendiri muak, maknanya rakyat juga muak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Melihat pada perkembangan semasa, tegas Hamidah, beliau tidak terperanjat jika ada lagi ADUN pembangkang yang keluar parti dan menjadi ADUN Bebas dalam masa terdekat ini.
‘‘Kita mengalu-alukan mereka yang berani bertindak. Sekarang bukan masa untuk kita terus berpolitik dan melupakan tanggungjawab masing-masing.
‘‘Sebagai pemimpin, sudah pasti kita perlu berani melakukan keputusan yang terbaik untuk rakyat yang kita wakili,” kata beliau.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib pula berkata, tindakan Keshvinder akan menstabilkan politik di Perak.
‘‘Ini akan membolehkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir melaksanakan dasar-dasar pentadbiran dengan lebih berkesan berlandaskan konsep Perak Amanjaya.
‘‘Ia juga membolehkan konsep 1Malaysia dalam pentadbiran kerajaan negeri diperkukuhkan, khususnya yang melibatkan penglibatan rakyat keturunan Sikh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar berkata, tindakan K. Keshvinder Singh keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas, menunjukkan pakatan pembangkang di negeri ini sedang menghadapi masalah dalaman yang serius.
Katanya, ia juga bertentangan dengan dakwaan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Ibrahim Ahad lalu kononnya ADUN Barisan Nasional (BN) akan menyertai mereka.
Menurutnya, dakwaan itu merupakan satu usaha terdesak untuk menutup masalah besar yang berlaku di kalangan mereka.
“Mereka berbuat demikian untuk menunjukkan bahawa pakatan pembangkang itu masih kuat dan dengan itu mereka dapat menghalang orang mereka daripada bertindak keluar parti.
“Sebenarnya masalah besar sedang berlaku dalam pakatan pembangkang kerana ramai ahli dan pemimpin mereka keluar parti dan ia akan terus berlaku,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan