KUALA LUMPUR 16 Jun – Parti komponen Barisan Nasional (BN) menyambut baik seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mereka mengambil iktibar daripada dua pilihan raya kecil lalu iaitu Parlimen Hulu Selangor dan Sibu.
Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang bersetuju dengan seruan Perdana Menteri itu berkata, suasana politik di negara ini berubah dari semasa ke semasa dan memerlukan pucuk pimpinan yang peka dengan perkembangan politik terkini.
‘‘Misalnya di Hulu Selangor, saya nampak ada perkembangan positif yang menunjukkan sokongan masyarakat India terhadap BN sudah mula bertambah.
‘‘Saya harap pucuk pimpinan BN akan memberi lebih perhatian kepada masyarakat India dan bekerjasama dengan MIC untuk memastikan golongan itu tidak tercicir daripada arus pembangunan perdana,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Perdana Menteri menggesa BN mengambil iktibar daripada dua pilihan raya kecil yang dilalui sebelum ini untuk melakukan penambahbaikan supaya mereka bertambah kuat pada masa akan datang.
Sehubungan itu satu konvensyen akan diadakan pada November ini bagi membolehkan semua parti komponen mengemukakan input untuk pembaharuan yang mampu dilaksanakan BN dalam segala aspek.
Sementara itu Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berpendapat, pilihan raya kecil di Hulu Selangor dan Sibu adalah contoh terbaik betapa jentera pilihan raya BN perlu diperbaharui seiring dengan perkembangan situasi semasa.
Menurutnya, konvensyen pada November ini merupakan satu konvensyen yang penting bagi BN kerana input-input yang bernas daripada semua parti komponen dapat dikumpul untuk menjadikan transformasi BN menjadi lebih cepat dan berkesan.
‘‘Masa berubah, situasi pun berubah. Jadi jentera pilihan raya kita pun perlu berubah. BN perlu bergerak pantas dan sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan,’’ kata beliau.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas pula berkata, kemenangan BN di Hulu Selangor boleh dilihat sebagai tanda pemulihan sokongan kepada gabungan parti yang memerintah di peringkat Persekutuan iaitu BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan