KUALA LUMPUR 14 Jun - Bekas Timbalan Presiden Pas, Hassan Shukri yang meninggal dunia hari ini adalah individu yang bertanggungjawab mencipta bendera Pas.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, idea menghasilkan bendera dengan bulatan putih berlatarbelakangkan warna hijau diperoleh Hassan secara tidak sengaja.
''Sambil memerah fikiran mencari idea, Allahyarham mengangkat tudung dakwat atas kertas dan terlihat bagaimana bulatan atas kertas berkenaan, lantas memberi idea kepada beliau untuk membuat bendera sedemikian.
''Kata Allahyarham, senang kalau macam itu. Saya juga ingat kata-kata beliau, siapa juga nak buat bendera Pas, hanya perlu buat bulatan putih.
''Nak melintang pun boleh, nak menegak pun boleh dan bendera Pas takkan terbalik sebab bulat macam mana pun letak tetap bulat," katanya dalam blog http://zul4kulim.blogspot.comhari ini.
Hassan meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira pukul 2 petang hari ini selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU) hospital itu kerana mengadu sakit dada.
Dalam pada itu, kata beliau, Hassan pernah menceritakan kepadanya bagaimana nama Pas boleh muncul.
''Kalau ikut singkatan tulisan rumi, ia sepatutnya menjadi Pis; Parti Islam Se-Malaysia. Tetapi kata Hassan, mereka menggunakan tulisan jawi iaitu Pa, Alif dan Sin, maka jadilah Pas," katanya.
Mengulas mengenai sikap Hassan, Zulkifli berkata, beliau seorang yang senang didekati, tetapi mempunyai pandangan yang agak konservatif.
''Saya masih ingat kata-kata Ustaz Hassan apabila kami hendak mengadakan pementasan mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim (pada 1998) di Markaz Tarbiah Taman Melewar, Gombak.
''Beliau tidak bersetuju dengannya dan memanggil saya ke rumahnya. Allahyarham memberitahu saya mengenai mengapa dia membantah pementasan berkenaan,'' katanya.
Tambah beliau, komitmen Allahyarham kepada perjuangan Pas adalah sangat mantap.
''Jangan sesiapa nak persoalkan kesetiaan Allahyarham. Saya tahu beliau banyak berkorban untuk Pas,'' ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan