PULAU PINANG 13 Jun - UMNO Bahagian Bukit Bendera akan menjadi bahagian pertama mengadakan pemilihan mengikut peraturan baru parti semasa mesyuarat pemilihan bahagian itu yang dijadualkan Julai ini.
Berdasarkan peraturan baru itu, sesiapa yang berhasrat bertanding bagi mana-mana jawatan dalam bahagian berkenaan boleh mendaftar seminggu sebelum hari pemilihan.
Selain itu, calon tersebut juga disyaratkan telah menjadi ahli bahagian tersebut sekurang-kurangnya tiga tahun.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan peraturan baru itu, cawangan dalam bahagian tidak perlu lagi membuat pencalonan.
''UMNO Bukit Bendera merupakan satu-satunya bahagian yang bakal mengadakan pemilihan mengikut peraturan baru parti,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi badan itu, Datuk Zainal Abidin Osman.
Pada 29 Mac lalu, 36 Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Bukit Bendera mencapai kata sepakat melepaskan jawatan masing-masing bagi membolehkan pemilihan semula di peringkat bahagian itu diadakan.
Ia bagi membolehkan bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera yang digantung kerana mengeluarkan kenyataan berunsur rasis, Datuk Ahmad Ismail dipilih semula menerajui bahagian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan