Isnin, 14 Jun 2010

Jangan terikut rentak pembangkang - Shafie

TANJUNG MALIM 14 Jun - UMNO tidak perlu terikut-ikut dengan rentak politik pembangkang yang suka mereka-reka cerita kerana ia hanya menyumbang kepada ketidakstabilan dalam negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, apa yang lebih penting, ahli-ahli UMNO perlu menumpukan kepada usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Ini propaganda yang sengaja direka hendak menunjukkan suasana yang tidak stabil. Kalau itu berlaku, ia tidak mudah untuk kita membangunkan mana-mana negeri," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah Hari Potensi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Peringkat Kebangsaan di Politeknik Sultan Azlan Shah dekat sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Nursiah Arshad dan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, dakwaan yang dibuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak bahawa terdapat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu akan melompat parti adalah sama dengan apa yang berlaku di Kedah.

"Mereka sengaja bawa cerita supaya ada yang tidak yakin dengan UMNO seperti juga di Kedah. Macam juga 16 September yang diuar-uarkan, sampai sekarang tak berlaku.

"Ini gimik politik pembangkang untuk menyemarakkan perjuangan kerja mereka kerana mereka tidak ada kerja lain. Mereka akan cari apa juga cara dan kaedah untuk politik mereka," katanya.

Walaupun menghadapi dakwaan tidak benar pihak pembangkang, Mohd. Shafie berharap ahli-ahli UMNO akan terus menumpukan masa dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat dan negara.

"Dalam politik memang kita tahu kalau nak penuhi permintaan 100 peratus memang tak dapat. Cuma saya harap rakyat tidak mudah terpedaya dengan propaganda pembangkang ini," katanya.

Semalam, Ketua Penerangan PKR negeri, Zulkifli Ibrahim mendakwa UMNO Perak kini berada di dalam keadaan yang parah dengan tiga ADUN parti itu akan melompat ke pakatan pembangkang dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: