PULAU PINANG 14 Jun - Badan Perhubungan UMNO negeri hari ini menafikan dakwaan bahawa 17 cawangan dalam UMNO Bahagian Jelutong yang dibubarkan dua tahun lalu telah diaktifkan semula.
Setiausahanya, Datuk Azhar Ibrahim berkata, status kesemua 17 cawangan yang dibubarkan itu masih kekal dan ahli-ahlinya juga telah diserap ke dalam 25 cawangan lain dalam UMNO bahagian terbabit.
Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyerahkan kepada Badan Perhubungan UMNO negeri untuk membuat keputusan berhubung perkara itu sebelum ini.
''Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam telah membuat keputusan bahawa 17 cawangan tersebut kekal tutup dan tidak akan dibuka semula.
''Justeru, saya rasa tidak timbul soal ada cawangan yang diaktifkan semula dan sebagainya kerana keputusan mengenainya telah pun dibuat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan, 13 daripada 17 cawangan UMNO Bahagian Jelutong yang dibubarkan dua tahun lalu telah diaktifkan semula.
Ketua UMNO Cawangan Persiaran Perak, Idris Osman dipetik sebagai berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada dua minggu lalu telah mengarahkan 13 cawangan bahagian itu diaktifkan semula.
Pada 10 Julai 2008, MT UMNO telah membubarkan 17 cawangan dalam UMNO Bahagian Jelutong disebabkan beberapa perkara antaranya mempunyai ahli 'hantu'.
Selain Cawangan Persiaran Perak, 16 cawangan lain yang dibubarkan ialah Kampung Paya, Persisiran Sungai, Jalan P. Ramlee, Taman Hijau, Jalan Kampar dan Taman Nusantara.
Turut terlibat Kampung Che Ros, Medan Tengku, Jelutong Barat, Jelutong Pantai, Batu Lanchang, Jalan Sungai, Taman Indah, Taman Perak, Pengkalan Haji Kassim dan Taman Cemerlang.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman menasihatkan mereka yang terlibat supaya tidak menimbulkan sebarang masalah.
''Sejak pembubaran 17 cawangan itu, kira-kira 1,500 ahlinya telah pun berjaya diserap ke beberapa cawangan lain dan saya berharap saki baki ahli lain juga buat perkara sama jika benar sayangkan parti," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan