Khamis, 3 Jun 2010

Senator: Suara rakyat tidak diketepikan

PUTRAJAYA 3 Jun - Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik lebih ramai Ahli Dewan Negara menganggotai kerajaan dalam rombakan kecil Kabinet kelmarin bukan bermakna suara rakyat diketepikan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana sesiapa sahaja yang dilantik menganggotai kerajaan, termasuk senator akan bertanggungjawab sepenuhnya kepada Dewan Rakyat.

''Dewan Rakyat adalah mewakili suara rakyat dan secara praktiknya, sesiapa yang dilantik menganggotai kerajaan akan bertanggungjawab sepenuhnya kepada dewan tersebut.

''Dengan itu, tidak timbul soal Najib membelakang ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengulas tindakan beberapa pemimpin pembangkang mempertikaikan pelantikan ramai senator dalam Kabinet melalui rombakan kecil yang dilakukan kelmarin.

Langkah itu dilihat parti pembangkang sebagai membelakangkan ahli-ahli Parlimen BN yang sedia ada.

Saifuddin berkata, dalam amalan sistem demokrasi, pelantikan senator sebagai menteri atau timbalan menteri sebagai satu perkara yang tidak menyalahi sistem tersebut.

Tiada ulasan: