Isnin, 7 Jun 2010

Soi Lek nafi hanya serah nama anaknya kepada PM

KUALA LUMPUR 7 Jun – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menafikan bahawa beliau hanya mengesyorkan nama anaknya, Chua Tee Yong kepada Perdana Menteri untuk rombakan kecil Kabinet yang diumumkan Khamis lalu.

Menurut Soi Lek, beliau menyerahkan dua nama kepada Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Tee Yong yang merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Presiden serta seorang lagi yang beliau enggan dedahkan namanya.

“Saya telah menyerahkan dua nama kepada Perdana Menteri dan keputusan rombakan Kabinet adalah diputuskan oleh beliau.

“Saya tidak perlu mengulas keputusan Perdana Menteri, lagipun beliau telah menjelaskan sebab Tee Yong dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas dialog dengan ahli-ahli Persekutuan Persatuan-persatuan Peniaga-peniaga Barang-barang Runcit Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Naib Presiden, Datuk Donald Lim Siang Chai.

Dalam rombakan kecil Kabinet Khamis lepas, Tee Yong yang merupakan Ahli Parlimen Labis dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ia menyebabkan perasaan tidak puas hati Timbalan Ketua Wanita MCA, Tan Ah Eng yang mendakwa beliau sendiri telah mengesahkan dengan Perdana Menteri bahawa Soi Lek hanya mengesyorkan nama Tee Yong untuk memasuki Kabinet.

Ah Eng yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, berikutan tindakan Soi Lek itu, Perdana Menteri tiada pilihan dalam melakukan rombakan kecil Kabinet itu.

Menurut Soi Lek, semua orang mempunyai pandangan yang berlainan, maka beliau tidak mahu mengulas tentang isu yang dibangkitkan oleh Ah Eng.

“Saya tidak perlu mengulas tentang keupayaan Ah Eng sebagai Ahli Parlimen, yang penting ahli Parlimen lain dan media boleh memberi komen tentang kepimpinannya,’’ katanya.

Mengenai dakwaan bahawa beliau menjadi dalang di sebalik gerakan anti-Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, Soi lek menganggapnya sebagai satu ‘lelucon’ (cerita lucu) dan enggan mengulas mengenainya.

“Saya hanya mahu memfokuskan untuk menyuburkan semula MCA bagi mengukuhkan parti ini,” katanya.

Semalam, akhbar Tamil Nesan melaporkan bahawa Soi Lek merupakan dalang di belakang gerakan anti-Samy Vellu bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada perkembangan yang berlaku di dalam MCA.

Tiada ulasan: