KOTA BHARU 13 Jun - Cadangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik bukan Melayu sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan dalam pakatan pembangkang.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, isu tersebut hanya disensasikan media bagi mengelirukan rakyat sedangkan setiap perkara yang ingin dilakukan oleh pakatan pembangkang perlu mendapat persetujuan Pas terlebih dahulu.
"Sebenarnya isu ini tidak pernah dibincangkan dalam pakatan pembangkang, media mensensasikan isu itu, tidak usah menjadikan perkara yang boleh dipolemik.
"Sebarang perkara dan soal mengenai perkara ini mesti dipersetujui bersama dan ia tidak boleh dilaksanakan tanpa mendapat persetujuan Pas," katanya ketika menggulung perbahasan usul Muktamar Tahunan Pas Ke-56 di sini hari ini.
Semalam, perwakilan dari Johor, Atan Gombang meminta kepimpinan Pas Pusat supaya menjelaskan pendirian berhubung cadangan Anwar untuk melantik bukan Melayu sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Bagi Atan, kepimpinan parti tidak boleh membiarkan isu tersebut berlalu begitu sahaja yang mungkin menyebabkan ahli-ahli dan orang ramai terkeliru.
Sementara itu, ketika ditanya adakah cadangan tersebut hanya pendapat peribadi Anwar, Mustafa berkata: "Awak (media) pun tahu itu, dia pun kata awak cuba tanya benda itu, benda itu memang diketahui.
"Kita tidak ada pendirian lagi, apabila kita bincang baru ada pendirian, lagi pun belum sampai masa lagi untuk kita perintah, apabila kita nak perintah baru kita bincang."
Mustafa berkata, pimpinan tertinggi pakatan pembangkang akan mengadakan mesyuarat sekurang- kurangnya sebulan sekali untuk menyelaras setiap tindakan yang akan diambil.
"Setiap kali mesyuarat, sekretariat pakatan pembangkang akan hubungi setiausaha agung setiap parti maka kita akan beritahu setiap kepimpinan.
"Hampir seluruh ahli dewan harian kita anggota tertinggi pakatan pembangkang, kita bermesyuarat tak kurang sekali sebulan supaya tidak berlaku masalah atau pertindihan sesama sendiri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan