KOTA BHARU 13 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menegur sikap perwakilan Muktamar Tahunan parti itu yang mengejek Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.
Kekesalannya itu diluahkan ekoran tindakan seorang perwakilan pada sesi perbahasan usul muktamar itu semalam melabelkan Rosmah sebagai 'suami' Perdana Menteri walaupun hanya untuk berseronok.
Katanya, cara yang digunakan oleh perwakilan itu juga tidak menggambarkan perwakilan tersebut sebagai seorang ahli Pas yang memperjuangkan Islam.
"Saya dengar semalam daripada perwakilan guna perkataan-perkataan yang... hendak seronok bolehlah, tetapi menyakitkan hati tidak usahlah guna. Ada sebut semalam, Rosmah suami Najib, apa perkataan itu.
"Najib semestinya lelaki, kenapa kita kata perempuan suami Najib, hendak seronok boleh tapi menyakitkan hati.
''Kalau menyakitkan hati apa jadinya, seronok tapi dendam sampai akhir. Tutuplah perkara macam itu," katanya ketika menggulung perbahasan usul Muktamar Tahunan Pas Ke-56 di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, memberikan gelaran yang buruk kepada seseorang tidak boleh digunakan kerana ia akan menyakitkan hati orang sehingga boleh menyebabkan musuh tidak akan mendekati parti itu.
"Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pemimpin, cukup pandai mencuri hati manusia, pakat-pakat bagi hadiahlah akan timbul kasih sayang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan