KUALA LUMPUR 13 Jun - Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) digesa melakukan transformasi politik supaya ia seiring program transformasi kerajaan (GTP) yang antaranya bertujuan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, transformasi itu mesti sehaluan dengan GTP supaya segala usaha kerajaan untuk memastikan rakyat di peringkat akar umbi menikmati kemajuan mencapai matlamat.
Beliau berkata, antara transformasi itu adalah setiap parti komponen tidak harus berjuang untuk kepentingan kaum tertentu sahaja sebaliknya perlu membela nasib semua kumpulan masyarakat.
"Mungkin dalam tempoh 40 atau 50 tahun yang lalu kaedah ini memberi kesan dan hasil, tetapi rakyat hari ini mahukan pendekatan baru.
"Kalau Parti Progresif Penduduk (PPP) yang ahlinya ramai orang India, ia tidak harus menyuarakan kepentingan kaum India sahaja, demikian juga UMNO ia tidak hanya berjuang untuk kepentingan orang Melayu dan MCA tidak harus berjuang untuk orang Cina sahaja," katanya.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berucap merasmikan Konvensyen PPP Wilayah Persekutuan 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir Presiden PPP, Datuk M. Kayveas dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan.
Menurut Muhyiddin, transformasi politik lain melibatkan langkah-langkah bagi mengukuhkan parti masing-masing dan memberi sokongan kepada kepimpinan sedia ada.
"Kita harus memberi tumpuan bagi menyatupadukan ahli-ahli dan memastikan mereka tidak bergaduh sesama sendiri supaya kedudukan parti-parti komponen dan BN secara keseluruhannya terus kukuh.
"Saya melihat PPP sudah mengambil langkah ke arah ini dan ia tidak lagi berdepan masalah seperti yang dihadapi setahun atau dua tahun lalu dan perkara sama telah dibuat oleh MIC, MCA dan Gerakan," ujarnya.
Katanya, parti-parti komponen BN juga perlu membuat pelbagai perubahan dari segi pendekatan apabila ingin menarik sokongan pengundi memandangkan harapan rakyat kini tidak seperti dahulu.
"Masa sudah banyak berubah dan rakyat mahukan (khidmat) yang lebih lagi.
"Orang ramai mahu lihat keupayaan kita untuk membantu mereka bukan dengan gaya yang lama, sebab itu kita kena berubah," katanya.
Muhyiddin juga menyarankan supaya pemimpin-pemimpin parti komponen BN bergerak sebagai satu pasukan dengan menjadikan gagasan 1Malaysia sebagai panduan.
"Saya harap setiap pemimpin dapat berganding bahu dengan pemimpin parti komponen lain, bukan berbeza atas nama parti masing-masing kerana pendekatan seperti ini akan membolehkan banyak masalah diselesaikan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan