Sabtu, 12 Jun 2010

Pas tidak terlibat dengan Kohilal - Hadi

KOTA BHARU 11 Jun - Setelah sekian lama berdiam diri mengenai isu Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) yang dikaitkan dengan Pas, pimpinan tertinggi parti itu mula bersuara.

Bagaimanapun, jawapannya agak mengejutkan apabila Pas dikatakan tidak mempunyai kaitan dengan Kohilal yang kerugian RM45 juta disebabkan kesilapan ahli lembaganya membuat keputusan pelaburan secara tidak berhemah.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, secara undang-undangnya Pas tidak terlibat dengan aktiviti ekonomi oleh koperasi itu yang menarik pelaburan daripada kalangan ahli-ahli Pas.

Tegas beliau, Pas hanya menumpukan kepada aktiviti politik dan bukannya membabitkan ekonomi.

"Kohilal hanya orang Pas yang terlibat tetapi secara undang-undang parti Pas tidak terlibat, kita hanya tumpu kepada politik dan bukannya ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-56 di Pusat Tarbiah Islamiyyah Kelantan (Putik) di sini hari ini.

Selasa lalu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Pas mendedahkan kedudukan wang berjumlah RM45 juta yang dilaburkan oleh ahli-ahlinya melalui Kohilal yang ditubuhkan pada 1986.

Berikutan itu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengakui kerugian yang ditanggung oleh Kohilal adalah kerana 'silap perkiraan' dari segi urusan pelaburan.

Semalam, Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Mangsor Saad dilapor mengesahkan kerugian Kohilal disebabkan kesilapan ahli lembaganya membuat keputusan pelaburan secara tidak berhemah.

Sementara itu, Abdul Hadi turut ditanya mengenai gesaan pelbagai pihak dalam parti itu yang mahukan Pas menjadi peneraju dalam pakatan pembangkang dan bukannya sekadar pengikut sahaja, beliau memberikan jawapan, 'selamat'.

"Kita kekal bekerja melalui persefahaman kolektif dan ia diamalkan sehingga kini. Pas tidak perlu tergopoh-gapah menonjolkan diri, masing-masing mempunyai peranan sendiri," katanya.

Abdul Hadi terus diasak, adakah pendekatan tidak tergopoh-gapah membawa maksud membenarkan parti pembangkang lain menonjolkan diri.

Beliau terus memberikan jawapan: "Ia tidak berbangkit dan kita berjalan seperti biasa."

Dalam pada itu, ditanya mengenai pendirian Pas adakah akan mendesak supaya perjudian diharamkan di negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang.

Abdul Hadi menjelaskan, pakatan pembangkang mempunyai satu jawatankuasa khusus bagi membincangkan mengenai perkara itu yang akan dilaksanakan berdasarkan kepada hak dan kepentingan penganut agama selain Islam.

"Ajaran Islam adalah jelas iaitu tidak akan mengganggu apa-apa hak orang bukan Islam seperti yang diajar oleh agama masing-masing," katanya.

Tiada ulasan: