Ahad, 13 Jun 2010

Pas ambil kesempatan kemarahan rakyat kepada BN

KOTA BHARU 13 Jun - Antara cabaran paling besar dihadapi Pas menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 ialah memastikan kebencian dan kemarahan rakyat terhadap parti pemerintah dapat diterjemahkan ke dalam peti undi.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, Pas perlu memanfaatkan keadaan itu dengan mencari kaedah untuk terus menyakinkan rakyat dengan memberi peluang kepada parti itu dan pakatan pembangkang untuk menjadi kerajaan.

''Marah dan benci rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) meluap-luap, harapan mereka begitu tinggi kepada Pas dan parti pembangkang lain.

''Hinggakan masalah kapal selam yang tidak boleh menyelam, katak yang tidak boleh melompat semuanya dikatakan berpunca daripada UMNO,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan pada Muktamar Tahunan Pas ke-56 di sini hari ini.

Tambah Mahfuz, Pas tidak boleh biarkan luahan marah itu tanpa susulan terbaik bagi memastikan ia dipanjangkan sehingga ke peti undi pada pilihan raya umum akan datang.

''Jangan biarkan hanya luah sahaja tetapi akhirnya tetap pilih BN juga dalam pilihan raya umum, inilah cabaran kita yang perlu dilaksanakan bersama-sama,'' katanya.

Sementara itu, bagi menambah gimik kepada demonstrasi membantah perjudian bola sepak pada 3 Julai ini, beliau mencadangkan supaya ahli-ahli Pas memakai jersi pasukan negeri atau negara yang diminati sambil membawa bola.

Beliau menegaskan, cadangannya itu bukannya main-main atau berseloroh, sebaliknya ia sebagai protes penentangan terhadap judi bola sepak, juga simbolik bahawa 'bola sepak boleh, judi tidak boleh.

Menurut beliau, langkah itu tidak salah dan tidak tersasar daripada landasan perjuangan Pas mengikut al-Quran dan as-Sunnah sebaliknya ia disesuaikan dengan kehendak khalayak.

''Pas tidak boleh jumud dalam perjuangan, kena berfikir luar kotak seperti pandangan helikopter yang melihatnya daripada atas bagi setiap perkara yang timbul," ujarnya

Tiada ulasan: