KOTA BHARU 13 Jun - Para ahli dan pimpinan Pas perlu menghargai sokongan tidak berbelah bahagi tanpa sebarang syarat oleh penyokong bukan Islam terhadap parti itu.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, ia salah satu kejayaan terbesar Pas dan tidak wajar ia dipersia-siakan.
Bagi beliau, sebarang sikap yang menonjolkan sentimen perkauman di kalangan ahli Pas, adalah kegagalan mereka dalam mencerminkan akhlak sebenar yang ditarbiyah oleh Pas.
''Pas akan rugi jika mereka hilang kehormatan, kepercayaan, kredibiliti dan kemampuan memimpin di mata kaum bukan Islam,'' jelasnya semasa menggulung usul sempena Muktamar Tahunan Pas ke-56 di sini hari ini.
Jelas beliau, penyokong bukan Islam sedar perjuangan Pas adalah ikhlas dan jujur serta langsung tidak memperjuangkan sebarang unsur perkauman sempit.
''DAP memang amat membenci dan mempersoalkan kewujudan Pas sebelum ini kerana bagi mereka pimpinan parti amat ekstrem dan sukar dibawa berbincang.
''Pimpinan Pas juga bagi DAP amat sinonim dengan imej berjubah, berkopiah dan berserban, berbau minyak atar sambil memegang tasbih.
''Malah pernah pimpinan dalam jawatankuasa pusat DAP mengugut untuk memecat Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham jika mereka memilih pemimpin Pas sebagai Menteri Besar Perak,'' katanya.
Tambah Mohamad Nizar, tanggapan dan persepsi buruk terhadap Pas itu berpunca daripada dakyah UMNO yang cuba menghancurkan parti itu.
Bagaimanapun, katanya, semuanya telah menjadi sejarah apabila DAP menyedari hakikat sebenar pembohongan UMNO dan menerima perjuangan ikhlas Pas menegakkan keadilan.
Katanya, usaha dan pendekatan tersusun perlu ditingkatkan bagi membersihkan segala tanggapan negatif yang sering dimainkan oleh media perdana terhadap Pas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan