Sabtu, 12 Jun 2010

Pas kekal pendekatan berbaik dengan media

KOTA BHARU 11 Jun - Pas akan terus mengekalkan pendekatan berbaik dengan media walaupun terus terdedah dengan pelbagai laporan negatif dan serangan terhadap parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sudah cukup berpengalaman mengharungi hubungannya dengan media dan cara menangani persoalan yang berbangkit.

Menurut beliau, Pas sentiasa mengamalkan sikap terbuka kepada seluruh media cetak dan elektronik walaupun ada sesetengah media sering melaporkan perkara tidak menyenangkan termasuk berunsur fitnah.

"Kita amat berpengalaman dalam hal berkaitan dengan media, Pas sudah masak dengan keadaan susah senang semasa menghadapi pilihan raya.

''Ketika itu ada media yang menyerang Pas, namun itu semua dapat ditangani dengan baik dan adil," kata beliau ketika berucap dalam majlis makan malam bersama media sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-56 di sini malam tadi.

Turut hadir Ahli-Ahli Jawatankuasa Pas Pusat di samping tetamu undangan dari luar negara yang mewakili pelbagai pertubuhan dan kerajaan.

Abdul Hadi juga berharap hubungan antara media dengan Pas akan sentiasa berada dalam keadaan mesra dan mereka boleh mendampingi pemimpin Pas tanpa protokol dan ini memberikan keselesaan kepada semua.

Dalam majlis yang dihadiri oleh kira-kira 40 wakil media itu beliau menegaskan bahawa Pas setia dengan perjuangannya dan terus berada di atas landasan menyertai pilihan raya, sejak tahun 1955 sehingga hari ini.

"Pas mengalami pasang surut, pernah dikalahkan, pernah ditumbangkan, pernah menyertai kerajaan Pusat, ditendang keluar, terus berpilihan raya tanpa mengira penat dan lelah," katanya.

Tegasnya, walaupun tidak berpuas hati dalam banyak perkara, Pas terus bersabar dalam sistem demokrasi kerana yakin, perubahan akan berlaku bila tiba masanya.

Katanya, apa yang penting adalah, Pas memilih saluran pilihan raya untuk berdepan dengan rakyat.

"Tetapi pilihan raya adalah saluran yang kita pilih untuk berdepan dengan rakyat, itu yang penting, kita yakin dan percaya perubahan akan berlaku bila tiba masanya," kata beliau.

Tiada ulasan: