Rabu, 2 Jun 2010

Thiagarajan yang bawa masalah - Mohan

KUALA LUMPUR 2 Jun - Ketua Pemuda MIC, T. Mohan menyangkal dakwaan masalah dengan kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Kedah, S. Ananthan menjadi punca peletakan jawatan Ketua Pemuda MIC Kedah, L. Thiagarajan semalam.

Tegasnya, Thiagarajan sendiri telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan beberapa hari sebelum mengumumkannya dan beliau tidak sepatutnya menyalahkan orang lain atas pilihannya itu.

"Bukannya Ananthan yang bermasalah tetapi Thiagarajan yang bawa masalah. Dia juga merupakan orang baru yang kurang berpengalaman.

"Thiagarajan turut menerima tekanan besar kerana tidak mendapat sokongan ketua-ketua bahagian MIC di Kedah sehingga menyebabkan dia tidak dapat melaksanakan tugas dengan betul.

"Secara peribadi, saya menganggap perkara ini bukan isu besar. Saya akan berbincang dengan Presiden Parti, Datuk Seri S. Samy Vellu secepat mungkin untuk mencari pengganti bagi jawatan Ketua Pemuda MIC Kedah itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa Ananthan menghalang Thiagarajan berjumpa dengan ketua-ketua bahagian MIC di Kedah di samping campur tangan pemimpin peringkat negeri dan Pusat lain dalam komplot untuk menjatuhkan bekas Ketua Pemuda MIC Kedah itu.

Thiagarajan turut menuduh kepimpinan MIC Kedah dan Pusat tidak mempedulikan suara golongan muda dalam MIC yang mahukan pembaharuan untuk parti tersebut.

Dalam pada itu, Ananthan dalam satu kenyataan hari ini menegaskan dakwaan terdapat komplot dan tekanan dari kepimpinan peringkat negeri untuk memaksa Thiagarajan meletak jawatan adalah tidak berasas sama sekali.

Jelasnya, tindakan Thiagarajan meletak jawatan semalam berpunca daripada kegagalannya sendiri dalam mendapatkan kepercayaan dan sokongan akar umbi serta para pemimpin MIC peringkat bahagian dan negeri.

"Saya tiada salah faham dengannya. Thiagarajan telah membuat andaian yang salah mengenai komplot dan tekanan dari kepimpinan MIC Kedah kononnya untuk memaksanya melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda MIC Kedah,'' katanya.

Sepanjang memegang jawatan tersebut katanya, Thiagarajan tidak menunjukkan ketokohan dalam memimpin sehingga hilang kepercayaan bahagian, cawangan dan Pemuda MIC Kedah sendiri.

"Ini jelas berlaku apabila sebahagian besar Pemuda MIC Kedah tidak menghadiri konvensyen tahunan negeri yang berlangsung baru-baru ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Ananthan membidas tindakan Thiagarajan membuat kenyataan secara terbuka bagi mengkritik pucuk pimpinan MIC di peringkat negeri dan Pusat.

''Ini sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang parti dan mungkin menyebabkannya berhadapan dengan tindakan susulan.

"Saya berharap Thiagarajan tidak akan membuat sebarang kenyataan terbuka dan dakwaan tidak berasas terhadap mana-mana pemimpin parti lagi selepas ini," katanya.

Tiada ulasan: