JOHOR BAHRU 13 Jun - Badan Perhubungan UMNO negeri hari ini membuat ketetapan menolak sebarang bentuk perjudian dalam bidang sukan termasuk pertaruhan bola sepak.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pendirian ini berdasarkan maklum balas seluruh lapisan masyarakat negeri ini yang jelas tidak bersetuju dengan sebarang bentuk perjudian.
"Kita (UMNO Johor) mendapat reaksi yang amat jelas daripada masyarakat di negeri ini untuk tidak menerima sebarang bentuk pertaruhan dalam sukan.
"Saya percaya pihak yang terlibat dalam perkara ini dapat mendengar suara rakyat tentang perkara itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan belum lagi mengeluarkan atau memberi lesen kepada syarikat Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot Sports) untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.
Abdul Ghani berkata, masyarakat berbilang kaum negeri ini juga tidak boleh menerima sebarang bentuk perjudian yang turut dilihat berlaku dalam bidang sukan terutama bola sepak.
Beliau menegaskan, walau apa pun alasan, ia tetap tidak boleh diterima dan pihak berkenaan perlu ambil perhatian mengenai perkara tersebut.
"Kami akan mewakili Johor untuk membawa perkara ini kepada perhatian pucuk pimpinan parti pada sesi mesyuarat yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini dan perjuangan ini dibuat atas nama UMNO Johor," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan