Ahad, 13 Jun 2010

UMNO sedia cari Marnie

KUALA LUMPUR 13 Jun - Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO bersedia untuk membantu mencari Marnie Abdul Sarang atau Mimie, 15, dari Sabah yang melarikan diri mengikut kekasih pengkidnya ke Kuala Lumpur sejak 15 April lalu.

Marnie, sebelum ini pulang ke rumah bapa saudaranya di Batu 14, Hulu Langat pada 1 Jun lalu, bagaimanapun menghilangkan diri sekali lagi, pada 6 Jun.

Bapanya, Abdul Sarang Bangun, 42, yang sanggup ke Semenanjung bagi membawa pulang Marnie ke kampung halaman, pada 8 Jun lalu, gagal berbuat demikian.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, pihaknya akan berusaha membantu keluarga Abdul Sarang untuk mencari anaknya itu.

"Kami akan menghubungi bapa Marnie dan cuba mendapatkan maklumat bagi mengesan di mana remaja itu berada.

"Kita akan berusaha menemukan semula Marnie dengan keluarganya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Sarang yang masih bermurung dengan kehilangan semula Marnie enggan mengulas lanjut ketika dihubungi hari ini.

Marnie dikatakan melarikan diri mengikut kekasihnya seorang pengkid ke Kuala Lumpur sejak 15 April lalu selepas meninggalkan nota menyuruh ahli keluarga supaya jangan mencarinya.

Sejak itu, keluarganya berusaha untuk menjejaki Marnie namun gagal.

Tiada ulasan: