KOTA BHARU 11 Jun – Pimpinan Pas Pusat tidak harus terlalu ghairah menarik sokongan golongan bukan Melayu dalam usaha parti itu menguasai Putrajaya sehingga pengundi tradisi mereka dilupakan.
Perwakilan Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (gambar) ketika perbahasan berkata, keghairahan segelintir pemimpin untuk memenangi pilihan raya umum akan datang menyebabkan pengundi yang terdiri daripada Melayu dan Islam seolah-olah tercicir.
Jelasnya, kesilapan-kesilapan ini pernah berlaku sebelum ini apabila ada pemimpin yang “terlepas cakap pada saat akhir” sehingga memberi peluang untuk dieksploitasi pihak lawan.
“Dalam keghairahan kita menarik sokongan bukan Islam saya sendiri sentiasa mengingatkan diri agar jangan lupa pengundi tradisi yang telah memberi sokongan selama ini.
“Sebab itu kata-kata kita, tindakan atau dasar kita kalau untuk tarik sokongan bukan Islam sekalipun janganlah lupa pengundi-pengundi asal ini,” katanya.
Beliau membahaskan Ucapan Dasar Presiden bertemakan Islam Adil Untuk Semua sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-56 di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik) di sini hari ini.
Mohd. Amar turut mengingatkan semua pemimpin agar tidak terlalu menonjolkan perbezaan pendapat mereka berkenaan isu-isu tertentu kepada umum sehingga menyebabkan persepsi negatif kepada mereka sendiri.
Tegasnya, biarlah masalah yang timbul itu diselesaikan mengikut saluran parti tanpa perlu dihebahkan.
“Kalau ada kesilapan sekali pun biarlah ia diperbetulkan di kalangan keluarga kita bukannya di kedai kopi.
“Kalau kita boleh jaga ini dan mengurangkan tanggapan negatif maka kita akan mempunyai peluang yang besar,” tambahnya.
Sementara itu, perwakilan Perak, Khalil Idham Lim Abdullah, turut mengingatkan wakil rakyat Pas agar tidak ‘syok sendiri” dan duduk di tempat yang selesa.
“Mereka sepatutnya turun berjumpa rakyat dan beri penerangan agar rakyat faham bahawa Pas adalah alternatif kepada parti lain.
“Waktu yang ada ini haruslah digunakan sebaik mungkin untuk kita mencapai sesuatu dengan berjumpa rakyat dan memberi penjelasan kepada mereka,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan