Ahad, 4 Julai 2010

1 Malaysia dalam perlembagaan UMNO


Rais Yatim ketika majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang, Selangor, semalam. Turut sama Noh Omar. - BERNAMA


TANJONG KARANG 4 Julai - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini mengingatkan orang Melayu bahawa Perlembagaan UMNO sudah sedia mengandungi prinsip-prinsip Gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, di bawah Fasal 3 (6) perlembagaan itu, jelas tertera perlunya diasaskan hubungan dan kerjasama antara pelbagai kaum.

"Secara kebetulannya di bawah Fasal 3 (6) perlembagaan itu sudah jelas disebut iaitu berhubung rapat, bekerjasama dengan semua kaum dan wujudkan satu bangsa Malaysia yang kukuh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Rais yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO juga menyeru anggota parti itu agar berani bersuara berlandaskan fakta dan landasan yang tepat.

"Bukan kita mengatakan suara (UMNO) sekarang sudah tidak kedengaran tetapi yang penting ialah untuk kita suarakan hak-hak yang hakiki kepada orang Melayu berasaskan Perlembagaan UMNO sendiri dan Gagasan 1Malaysia," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Rais turut menarik perhatian perwakilan dan pemerhati bahawa Perlembagaan Persekutuan turut mengandungi fasal yang menjaga hak dan bidang kepentingan untuk semua kaum.

Beliau berkata, kepentingan semua kaum itu bermaksud supaya rakyat Malaysia pelbagai kaum dan keturunan dapat hidup rukun damai sebagaimana visi dan misi di bawah gagasan 1Malaysia.

Selain itu, Rais juga menasihatkan generasi muda dalam UMNO supaya menitikberatkan kebajikan rakyat dalam perjuangan mereka dan bukan semata-mata mengejar nama dan pangkat.

"Ini kerana kita tidak boleh lari daripada tuntutan perjuangan dan tuntutan ini terasas kepada perlembagaan kita. Tinggal lagi generasi muda jarang hayati apa yang terkandung dalam perlembagaan kita iaitu dalam bentuk tujuan asasnya.

"Sebab itu, kita perlu kembali kepada nilai-nilai ini dan mempromosinya secara bersunguh-sungguh untuk masa akan datang," katanya.

Tiada ulasan: