Ahad, 4 Julai 2010

Bukti pemimpin PKR, Raja Petra bersubahat


Muhyiddin Yassin menunjukkan cakera padat (CD) lagu Warisan Batu Pahat yang dilancarkannya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat, semalam. Turut hadir Dr. Mohd. Puad Zarkashi (kanan) dan Ja'affar Hashim (kiri). - BERNAMA


BATU PAHAT 4 Julai - Hubungan baik Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan pengendali portal antikerajaan, Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin membuktikan parti tersebut bersubahat dengan lelaki yang sedang diburu pihak berkuasa itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebab itu Zaid setakat ini tidak bersedia untuk tampil menafikan hubungan mereka.

"Kalau Zaid nak nafi dia patutnya tampil ke depan mengatakan saya tiada kena mengena, kalau dia tak nafikan, maknanya dia memang ada hubungan dengan Raja Petra dan kita semua tahu apa tujuan dan maksud perkara itu," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kerajaan mempunyai bukti Raja Petra yang kini tinggal di London telah dibiayai oleh PKR.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga meminta Zaid memberi penjelasan kepada rakyat tentang hubungannya dengan Raja Petra.

Muhyiddin berkata, gambar antara Zaid dengan Raja Petra baru-baru ini juga menunjukkan dengan jelas hubungan PKR dan Raja Petra yang sehingga kini melarikan diri daripada pihak berkuasa

Tiada ulasan: