Ahad, 4 Julai 2010

Empat perkara nilai sikap rakyat terhadap UMNO

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat perkara yang boleh mempengaruhi sikap rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, keempat-empat perkara tersebut perlu dinilai oleh pemimpin dan ahli UMNO untuk menentukan tahap penerimaan rakyat kepada parti itu.

Menurutnya, perkara pertama adalah kepuasan rakyat terhadap kepimpinan parti di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan nasional mengenai sesuatu program yang dijalankan.

''Perkara kedua ialah bagaimana kepimpinan negeri menguruskan soal permohonan tanah, sama ada tanah yang mahu diteroka atau geran hak milik tanah sementara (TOL).

''Bagi parti pula, kepimpinan daripada peringkat akar umbi, cawangan dan bahagian akan dinilai oleh masyarakat bagaimana mereka mentadbir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Perdana Menteri memberitahu, perkara terakhir adalah peranan wakil rakyat yang dipilih sama ada mereka disenangi pengundi atau sebaliknya.

Menurut Najib, jika pemimpin dan ahli parti gagal dalam keempat-empat perkara tersebut dan tidak mencapai kepuasan rakyat, UMNO dan BN berhadapan masalah besar apabila tiba pilihan raya.

''Justeru saya menyeru semua pemimpin parti tidak kira di peringkat akar umbi mahupun bahagian melaksanakan tanggungjawab mereka demi kepentingan rakyat," tegasnya.

Pada penggulungan itu juga, beliau menggesa semua cawangan dan bahagian mempermudahkan urusan pendaftaran ahli baru yang ingin menyertai UMNO.

Tegasnya, soal pendaftaran ahli tidak dibuat secara bermusim sebaliknya perlu dilakukan secara berterusan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti yang boleh menarik minat orang ramai menyertai UMNO.

Terdahulu, mesyuarat itu meluluskan usul menyokong Perdana Menteri yang membuat keputusan tidak meluluskan lesen perjudian sempena Piala Dunia 2010.

Usul yang dikemukakan Pengerusi Biro Agama UMNO Bahagian Pekan, Mohd. Arippin Daud itu tetap mempertahankan keputusan Kabinet tersebut walaupun terdapat pihak tertentu yang mendesak supaya meluluskan lesen tersebut.

Tiada ulasan: