Ahad, 4 Julai 2010

Amaran kepada penghancur MIC


S. Samy Vellu memotong riben pelancaran lagu Puteri MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Julai – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini menegaskan, sesiapa sahaja akan hancur terlebih dahulu sekiranya mahu menghancurkan parti tersebut.

Menurutnya, individu atau pihak yang mahu menghancurkan MIC pasti akan menghadapi musibah dan parti akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka.

Katanya, beliau sedia menerima sebarang kritikan daripada ahli-ahli parti itu dan akan memberikan ruang untuk mengemukakannya menerusi platform yang sesuai.

“Bagaimanapun, mereka tidak patut mengeluarkan kenyataan itu di khalayak ramai atau di media. Saya selalu berjumpa para perwakilan dan ahli-ahli akar umbi, jika ada apa-apa masalah dan rasa tidak puas hati, beritahu saya secara terus-terang.

“Saya sedia mengkaji dan berusaha untuk menyelesaikannya. Jika sebaliknya, sudah pasti parti akan mengambil tindakan terhadap individu yang mencuba untuk menghancurkan dan mencemarkan nama baik parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk G. Palanivel dan naib-naib presidennya, Datuk Dr. S. Subramaniam, Datuk M. Saravanan serta Datuk S. K. Devamani.

Turut serta Ketua Pergerakan Wanita, Datin Paduka K. Komala; Ketua Pergerakan Pemuda, T. Mohan; Ketua Pergerakan Putera, P. Kamalanathan dan Ketua Pergerakan Wanita, Senator J. Usha Nandhini.

Tambah Samy Vellu, MIC adalah parti yang kuat dan kekuatan itu dapat dicerminkan melalui keutuhan parti selama 64 tahun.

“Ada beberapa individu mengutarakan beberapa soalan seperti apakah Samy Vellu buat kepada masyarakat India di negara ini. Individu yang tanya soalan seumpamanya adalah orang yang pekak dan buta.

“Saya pernah hadapi banyak cabaran dan kesemua keputusan diambil dengan mengambil kira kesejahteraan kaum India,” jelasnya.

Katanya, salah sebuah akhbar berbahasa Tamil sentiasa membuat tuduhan melulu terhadapnya dan sentiasa mencuba untuk mencemarkan nama baiknya.

“Setiap hari saya akan ketawa selepas membaca surat khabar itu. Hanya berita-berita sensasi mengenai saya membantu mereka untuk menjual surat khabar itu. Ini bererti saya memberi gaji kepada mereka secara tidak langsung.

“Setiap hari lebih 100 orang datang ke ibu pejabat MIC dan ini bererti MIC membuat sesuatu kepada masyarakat India di negara ini dan hanya MIC membela nasib kaum India,” katanya.

Ketika ditanya mengenai Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS), beliau dengan sinis berkata, beliau hanya mengenali ‘gas Shell dan gas Esso’.

Sementara itu katanya, beliau akan mengambil usaha pembaharuan iaitu dengan menyatukan jentera empat sayap parti iaitu pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan Putera menjadi satu.

Katanya, pihaknya juga akan memperkenalkan Kelab Rakan MIC bagi menarik remaja yang tidak berminat dengan politik dan akan membentuk satu jawatankuasa bersama untuk beroperasi sebagai satu kumpulan tanpa perlu bergabung.

“Keempat-empat pergerakan itu akan membentuk satu Kor Sukarelawan bagi membantu parti dalam kerja-kerja sosial.

“Ini merupakan beberapa perubahan yang perlu diambil bagi memberi khidmat yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya

Tiada ulasan: