Rabu, 7 Julai 2010

Anwar burukkan imej negara dalam wawancara bersama CNN

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus bertindak memburuk-burukkan Malaysia di luar negara dalam usaha menjejaskan imej negara di mata dunia.

Terbaru, ketika beliau diwawancara dalam rancangan Connector of the Day terbitan CNN, minggu lalu.

Selain menuduh kerajaan dengan pelbagai dakwaan, Anwar dalam rancangan selama enam minit itu turut mempertikaikan kewibawaan sistem kehakiman negara apabila ditanya mengenai tuduhan liwat yang dihadapinya ketika ini.

Antara tuduhannya dalam rancangan itu, Anwar mendakwa pemerintahan negara yang ditunjang oleh UMNO mengamalkan sistem pentadbiran korup hingga menyebabkan jurang antara rakyat semakin jauh.

''Mereka juga mengamalkan polisi pemerolehan tanpa tender dan akhirnya yang mendapat faedah daripada corak pemerintahan ini ialah kroni-kroni mereka.

''Golongan ini yang mendapat habuan beratus juta ringgit. Kerajaan ini jugalah yang telah menggunakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membantu orang Melayu yang miskin,'' katanya dalam rancangan tersebut.

Rakaman wawancara itu boleh dilayarihttp://edition.cnn.com/video/data/2.0/video/world/2010/07/02/ctw.cotd.anwar.ibrahim.cnn.html.

Ketika menjawab soalan mengenai tuduhan liwat ke atasnya, Anwar mendakwa yang beliau menjadi mangsa kepada rejim pemerintahan korup.

''Kerajaan ini telah menafikan hak saya. Anda bayangkan saya dituduh atas satu kesalahan jenayah tetapi saya tidak dibekalkan dokumen yang diperlukan.

''Mengenai laporan polis, pihak saya hanya dibenarkan melihat laporan itu enam bulan selepas ia dibuat. Jika benar-benar saya dituduh dalam satu sistem kehakiman yang adil mengapa ada cubaan untuk memburuk-burukkan peribadi saya dengan tuduhan ini?'' katanya.

Berhubung kenyataannya mempertikaikan sistem kehakiman di negara ini, beliau berkata, itu bukan pandangannya semata-mata tetapi ia disokong dengan pandangan oleh beberapa pihak.

Antaranya beliau berkata, Majlis Peguam, Suruhanjaya Keadilan Antarabangsa, Persatuan Peguam Antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung kebebasan kehakiman.

''Mereka secara konsensus menyatakan ada yang tidak kena dalam keseluruhan proses kehakiman kita,'' ujarnya.

Anwar di dalam rancangan tersebut turut mengulas mengenai pelaksanaan hukuman syariah di Malaysia.

Soalan yang dikemukakan berkisar sama ada pelaksanaan dua sistem undang-undang di Malaysia iaitu sivil dan syariah yang kadang-kadang boleh menimbul kekeliruan.

''Dalam pelaksanaan undang-undang syariah, kita perlu pastikan ia adil dan dalam masa yang sama kita perlu membuat pembaharuan untuk memastikan sistem perundangan ini benar-benar memberi keadilan.

''Namun begitu, seperti mana ketetapan yang telah dibuat sebelum ini, undang-undang syariah tidak akan dilaksanakan kepada rakyat bukan Islam,'' katanya.

Tiada ulasan: