Isnin, 5 Julai 2010

ADUN Sri Muda dipanggil kali kedua

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini hadir buat kali kedua ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyambung sesi soal siasat suruhanjaya itu.

ADUN Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafie tiba di ibu pejabat suruhanjaya itu bersama peguamnya, Shamsul Iskandar Md. Akin pada pukul 2 petang ini dan sesi merekodkan keterangan selesai kira-kira pukul 5.35 petang.

Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda PKR berkata, setakat ini siasatan ke atas Shuhaimi telah selesai melainkan terdapat isu-isu baru ditimbulkan.

"Hari ini Shuhaimi dipanggil semula sebagai sambungan kepada siasatan yang dilakukan tempoh hari dan kerjasama sepenuhnya telah diberikan kepada SPRM.

"Ucapan terima kasih juga kepada SPRM kerana kerjasama baik yang diberikan oleh suruhanjaya itu. Apa pun setelah meneliti kandungan keterangan, saya yakin anak guam saya tidak bersalah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 1 Julai lalu, Mat Shuhaimi bersama ADUN Batu Caves, Amirudin Shari hadir ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan mengenai kes yang dipercayai membabitkan aktiviti perlombongan pasir di Selangor.

Laporan akhbar sebelum itu menyebut kedua-dua ADUN itu dipanggil ke ibu pejabat SPRM Khamis lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (A) Akta SPRM 2009.

Kedua-dua ADUN itu menerima notis pemeriksaan daripada SPRM yang dikeluarkan Isnin minggu lalu, mengarahkan mereka hadir untuk membantu siasatan mengikut seksyen tersebut iaitu membabitkan kesalahan memberi atau menerima suapan untuk ejen.

Tiada ulasan: