Rabu, 7 Julai 2010

Anwar didakwa bangkrap idea

Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerang kredibiliti individu-individu yang membuat dakwaan berkaitan hubungan parti itu dengan Raja Petra Kamaruddin merupakan taktik 'basi' beliau untuk mengalih tumpuan daripada isu berkenaan.

Bekas Setiausaha Sulitnya, Anuar Shaari berkata, sikap berdolak-dalik Anwar juga menunjukkan beliau bankrap idea dan gugup untuk berhadapan dengan isu dakwaan penglibatan PKR dalam menaja kehidupan Raja Petra dan penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam di London.

"Saya sendiri dituduh Anwar menerima upah oleh pihak tertentu bagi mengeluarkan kenyataan berkaitan isu terbabit. Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu.

"Sering kali Anwar mengambil langkah mengalih perhatian daripada menjawab isu pokok dengan menyerang kredibiliti mereka yang mendedahkan kepincangan beliau. Taktik itu sudah basi dan saya cabar beliau supaya memberi penjelasan mengenai perkara itu,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai sikap Anwar yang dilihat cuba berdolak-dalik mengenai dakwaan penglibatan PKR dalam menaja kehidupan Raja Petra yang juga pengendali portal Malaysia Today dan Balasubramaniam di London.

Menurut laporan akhbar hari ini, Anwar ketika ditanya mengenai tuduhan itu bagaimanapun tidak menjawabnya secara langsung sebaliknya mempersoalkan kredibiliti individu-individu yang membuat dakwaan tersebut.

Seperti mencabar pihak berkuasa, Anwar turut memperlekehkan keupayaan pihak polis dengan mengatakan beliau sendiri akan berjumpa dengan Raja Petra sekiranya berkesempatan ke London pada masa depan.

Baru-baru ini, gambar Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, Raja Petra, Balasubramaniam dan dua individu lain disiarkan di laman web Malaysia-instinct.com.

Dipercayai gambar itu dirakamkan di United Kingdom kerana kedua-dua individu berkenaan berada di negara tersebut. Pada 30 Jun lalu, laman web Malaysia Today menyiarkan gambar Raja Petra bersama Zaid.

Bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Senator Ezam Mohd. Noor menjelaskan bahawa sandiwara Anwar telah sampai ke titik penamat dan pemimpin pembangkang itu tidak perlu berdolak-dalik lagi.

"Sudah cukup beliau membuang masa rakyat dan negara dengan berdolak-dalik dalam banyak perkara. Raja Petra dan Balasubramaniam tidak ada nafsu sebesar Anwar untuk rosakkan imej pemimpin negara," katanya.

Bagi Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, sikap berdolak-dalik Anwar jelas menunjukkan sikapnya yang selama ini suka berpura-pura dan tidak menghormati orang lain terutama pihak berkuasa negara ini.

Dalam hal kunjungan beliau ke Amerika Syarikat (AS) katanya, Anwar menyalahkan laporanUtusan Malaysia tetapi pada masa yang sama beliau langsung tidak menafikan telah meminta maaf kepada pemimpin Yahudi kerana kenyataannya yang dilihat anti-Yahudi.

"Begitu juga dalam kes Raja Petra dan Balasubramaniam, bukanlah perkara mustahil jika penempatan kedua-dua individu itu dirancang dan diketahui oleh Anwar lantaran peranan mereka untuk memburuk-burukkan imej negara serta bertindak sebagai pelobi Anwar.

"Oleh kerana kertas siasatan mengenai individu dan parti politik yang menaja Raja Petra telah dibuka, maka Puteri UMNO menggesa supaya siasatan segera dan menyeluruh dilaksanakan supaya pihak-pihak yang kurang ajar dan berlagak bijak itu dapat dihadapkan ke muka pengadilan,'' tambahnya.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui Malaysia Today.

Balasubramaniam pula menghilangkan diri ke luar negara selepas memberi dua perakuan sumpah berbeza berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Tiada ulasan: