Ahad, 4 Julai 2010

Ahli UMNO jangan rasa bersalah pertahankan hak Melayu

Orang Melayu khususnya ahli UMNO diingatkan supaya lebih berani membuat tuntutan terhadap hak-hak mereka secara berterus terang tanpa berlindung di sebalik kata-kata yang tersirat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, masyarakat Melayu tidak seharusnya terus bersikap terlalu defensif sehinggakan kadang-kala rasa bersalah untuk membangkitkan sesuatu perkara yang jelas adalah hak mereka.

''Apa salahnya buat tuntutan secara tersurat dan mengapa mahu rasa defensif kerana kita kena ingat UMNO adalah adalah milik orang Melayu dan diakui merupakan tunjang kepada Barisan Nasional (BN).

''Hakikatnya dalam negara demokrasi, kita tahu kita yang paling ramai tetapi malangnya kita berpecah maka kuasa majoriti mudah terlepas dan golongan lain mengambil kesempatan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sepang di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Suhaimi Mohd. Ghazali yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sepang.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, apabila kuasa politik orang Melayu terhakis, maka golongan lain mula membuat tuntutan masing-masing.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak orang Melayu bangkit dan ia tumbuh bagaikan cendawan.

Katanya, para pemimpin NGO beranggapan UMNO sudah tidak lagi mampu ke depan untuk berhadapan dengan isu tersebut.

Malah jelas Mukhiz, terdapat beberapa pemimpin Pas sendiri bertanya kepada beliau mengapa UMNO kini kelihatan 'tidak bertaring' seperti dahulu.

''Oleh itu, kita kena dengar rintihan dan memahami di mana kekuatan kita, UMNO diperlukan bagi menjaga kepentingan orang Melayu dan ini kita tidak boleh kompromi.

''Jangan tertipu dengan dakyah-dakyah bahawa UMNO adalah bersifat perkauman kerana kalau itu yang difikirkan maka kita akan menjadi serba salah," katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata, tugas-tugas bagi memperkukuhkan dasar 1Malaysia serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) boleh diserahkan kepada BN manakala UMNO perlu meneruskan kerja-kerja untuk memartabatkan orang Melayu.

''Sekiranya hak golongan majoriti sempurna diperjuangkan, insya-Allah sokongan tidak hanya dibuat terhadap orang Melayu malah untuk semua pihak, jika tidak dilakukan secara langsung ia akan dibuat melalui parti-parti komponen," katanya.

Sementara itu beliau berkata, kepimpinan parti sedar tentang kepentingan konsep parti menguasai kerajaan seperti yang sering dibangkitkan oleh para pemimpin UMNO di peringkat akar umbi.

''Meskipun ada pihak tertentu yang berasa runsing dengan dasar-dasar kerajaan sejak kebelakangan ini, kita tetap yakin dengan janji yang telah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Tiada ulasan: