Rabu, 7 Julai 2010

Perkasa dakwa Kim Sen menghasut

Kenyataan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chai Kim Sen dalam laman web Merdeka Review bukan sahaja berbaur hasutan malah menimbulkan rasa tidak selamat di kalangan ahli Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan orang Melayu yang menyokong pertubuhan itu.

Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata, Kim Sen dalam kenyataan bertarikh 1 Julai lalu mengatakan bahawa Pemuda MCA akan menyerang balas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan maruah MCA.

"Kenyataan Kim Sen itu dibuat ekoran tidak puas hati dengan artikel yang disiarkan dalam Suara Perkasa, lidah rasmi Perkasa yang menggesa Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mempersoalkan hak orang Melayu,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, jika sekiranya ada ahli-ahli Perkasa yang tercedera atau berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini akibat kenyataan berbaur hasutan itu, maka Kim Sen harus dipertanggungjawabkan.

"Perkasa berharap polis akan mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan Kim Sen itu kerana ia boleh menimbulkan ketegangan kaum,'' katanya.

Tambahnya, Kim Sen juga turut menyebut "memang celaka betul" dalam kenyataan tersebut dan ia merupakan kenyataan paling biadab dan kurang ajar yang pernah dikeluarkan oleh ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) kepada orang Melayu.

"Ia tidak sepatutnya dikeluarkan oleh ahli sebuah parti politik,'' katanya.

Menurutnya, Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran tidak sepatutnya mempertikaikan hak istimewa orang Melayu di dalam pemberian biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) kerana ia bertentangan dengan konsep 1Malaysia.

"Perkasa berpendapat Ka Siong tidak layak memegang jawatan sekarang dan perlu dipecat kerana menimbulkan isu sensitif dan mengungkit Perkara 153 yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan negara,'' katanya.

Malah jelasnya, kenyataan itu juga akan membuatkan Ka Siong dibenci pengundi Melayu serta pemimpin MCA lain, serta boleh menjadi antara punca orang Melayu enggan mengundi calon MCA pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

"Perkasa ingin mengingatkan Ka Siong bahawa 60 peratus pengundi di Parlimen Air Hitam adalah orang Melayu dan mereka sebenarnya kecewa atas perbuatan beliau yang mempertikai hak istimewa orang Melayu,'' jelasnya.

Tiada ulasan: