Khamis, 1 Julai 2010

Anwar lakukan apa saja demi Azmin - Nalla

Pelantikan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuktikan kedudukan istimewa Azmin kepada Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk S. Nallakar buppan erkata , biar apa pun alasan Anwar, yang pastinya umum dapat melihat bagaimana Azmin diberi laluan istimewa bagi mengukuhkan cengkaman politiknya dalam PKR.

''Daripada Pengerusi PKR Sabah jadi Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan sekarang Pengerusi PKR Selangor. Langkah seterusnya pasti Anwar akan jadikan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor.

''Hari ini mangsanya Abdul Khalid, lepas ini kita tunggu siapa pula. Jadi moralnya, siapa yang pasang angan-angan nak ganti Anwar sebagai peneraju PKR elok lupakan saja,'' katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas pelantikan Azmin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor yang diumumkan parti itu baru-baru ini.

Anwar dalam reaksinya berhubung pengumuman itu mendakwa pelantikan Azmin dibuat tanpa sebarang agenda tersembunyi sebaliknya mahu Abdul Khalid menumpukan tugasnya sebagai Menteri Besar.

Sementara itu, Nallakaruppan yang diketahui umum sebagai bekas rakan tenis Anwar berkata, apa yang disebutnya lebih tiga tahun lalu mengenai penguasaan Azmin dalam PKR kini semakin jelas.

Katanya, segalanya mengenai Azmin pasti akan dilakukan Anwar malah beliau sendiri pernah diminta menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden PKR bagi memudahkan laluan anak emasnya itu.

''Pusing sana pusing sini, semua hanya pelakon sahaja, yang jadi pengarah tetap 3A (Anwar, Azmin dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail).

''Khalid mangsa terbaru 3A. Sebelum ini ramai yang sudah kena. Selepas ini tak tahu siapa pula.

''Yang pastinya, jalan untuk Azmin ke puncak menggantikan Anwar semakin terbuka luas. Dia (Anwar) sudah tanda (Azmin) dalam peta. Ternyata tiada siapa boleh gugat 3A,'' jelasnya.

Tambah Nallakaruppan, beliau sebenarnya turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Abdul Khalid kerana Menteri Besar Selangor itu kini sudah tidak mempunyai kuasa politik.

''Siapa-siapa boleh cakap apa pun, tapi hakikatnya ia sesuatu yang pedih nak diterima. Macam mana Menteri Besar tak ada kuasa politik.

''Tapi apa boleh buat. Kita boleh kasihan sahajalah. Ramai pun yang sengsara sebelum ini kerana 3A ini terutama Azmin.

''Jadi kita tunggulah apa Abdul Khalid nak buat, mungkin ikut jejak mereka (tinggalkan PKR) yang sudah jadi mangsa 3A sebelum ini,'' ujar Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) sinis.

Tiada ulasan: