Ahad, 4 Julai 2010

'Jangan mudah melatah'

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mengingatkan pemimpin Melayu tidak cepat melatah apabila beliau membuat gesaan agar individu tertentu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, pemimpin Melayu terbabit harus sedar bahawa mereka juga pernah menjadi mangsa desakan pihak tertentu untuk dikenakan ISA apabila membangkitkan isu-isu berkaitan kepentingan Melayu.

"Gesaan untuk ditahan di bawah ISA ini biasa sahaja. Saya cuma mahu mengingatkan kerana mungkin mereka sudah lupa.

"Ini kerana puak-puak itu sendiri pernah membuat bermacam-macam gesaan. Misalnya perwakilan MCA Perak pernah mencadangkan agar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ditahan di bawah ISA.

"Wanita Gerakan juga mahu bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail ditahan di bawah ISA selain laporan polis yang dibuat di Bagan Serai, Perak meminta Datuk Nasir Safar iaitu Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri ditahan di bawah ISA," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ibrahim menegaskan, pemimpin Melayu sepatutnya bangkit berjuang membela bangsa kerana sudah banyak kenyataan penghinaan terhadap orang Melayu dilakukan selama ini.

Kelmarin, Khairy menggesa Kementerian Dalam Negeri menyiasat Suara Perkasa kerana menerbitkan rencana meminta rakan sejawatannya daripada MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong ditahan di bawah ISA.

Malah Ibrahim juga digesa oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, S.Vell Paari agar ditahan di bawah ISA kerana didakwa bersifat perkauman berikutan artikel bertajuk Tahan Ka Siong di bawah ISA dalam akhbar sulung terbitan Perkasa itu.

Tiada ulasan: