Khamis, 1 Julai 2010

Rakyat semakin menyedari sikap bermuka-muka Anwar - Rais Yatim

PUTRAJAYA 1 Julai - Rakyat Malaysia semakin menyedari perbuatan makjujad atau bermuka-muka Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dia menemui beberapa tokoh dan pemimpin Yahudi di Amerika Syarikat baru-baru ini untuk 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perbuatan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyerlahkan warna politik sebenar Anwar bahawa 'inilah dia pemimpin dolak dalik utama' PKR.

''Anwar Ibrahim melintuk-liuk minta maaf pada beberapa orang pemimpin Yahudi Amerika Syarikat agar beliau tidak dianggap sebagai pengkritik Zionis. Ini merupakan perbuatan makjujad atau bermuka-muka.

''Bila di tanah air sendiri, Israel dimaki-hamun. Bila berdepan dengan Zionis, Anwar Ibrahim berserapah seribu janji diplomasi.

''Orang kampung kata inilah pemimpin cak kubin," kata Rais kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rais berkata, kunjungan Anwar ke Amerika Syarikat itu sebenarnya adalah usaha memujuk sekutu Israel supaya tidak memandang serong terhadapnya yang pernah mengecam dengan penggunaan istilah Zionis Israel apabila bersama mengutuk rejim itu sempena tindakan luar kemanusiaan terhadap warga keamanan Flotila.

Kunjungan Anwar ke Washington itu didedahkan oleh kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post, Selasa lalu.

Diehl dalam tulisannya bertajuk Flirting with zealotry in Malaysia (Bermain dengan kefanatikan di Malaysia) menyatakan bahawa Anwar meluangkan banyak masa untuk menawarkan penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk Pengerusi Jawatankuasa Luar Negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi.

Anwar dalam tulisan itu juga dikatakan menyesal menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Dalam lawatan ke AS itu juga, Anwar dilaporkan menemui beberapa tokoh politik Parti Demokrat yang diharap dapat membetulkan salah faham tentang isu 'antisemitik' yang telah dilemparkan kepadanya berkaitan kritikan beliau terhadap syarikat perunding perhubungan awam APCO di Dewan Rakyat baru- baru ini.

Selain bertemu dengan tokoh Yahudi di Washington, Anwar turut diberi peluang berucap di Woodrow Wilson International Center anjuran Woodrow Wilson International Center for Scholars yang dipengerusikan oleh Lee Herbert Hamilton, salah seorang kenalan Anwar dalam International Crisis Group (ICG).

Woodrow Wilson International Center merupakan pusat antarabangsa yang diambil dari nama bekas Presiden Demokrat AS ke-28, Thomas Woodrow Wilson.

Tiada ulasan: