Ahad, 4 Julai 2010

Minta gaze perkampungan India

Pergerakan Pemuda MIC hari ini meminta kerajaan segera merealisasikan cadangan menggazetkan tanah kampung masyarakat India dan penempatan India.

Ketua Penerangan Pemuda MIC, S. Subramaniam berkata, cadangan itu adalah ekoran usaha kerajaan mewujudkan Kampung Baru Melayu dan Kampung Baru Cina bagi kedua-dua kaum itu.

Menurutnya, pelaksanaan itu mampu memberikan kesaksamaan dalam pemilikan tanah turun-temurun dan mengekalkan simbol penempatan masyarakat India di negara ini.

"Pemuda MIC juga menyeru kerajaan supaya penempatan semula masyarakat India tidak seharusnya tertumpu di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sahaja.

"Masyarakat India patut diberikan hak mendiami tanah-tanah lot individu seperti yang diberikan kepada masyarakat Melayu dan Cina. Keseimbangan dan kesaksamaan sebegini harus wujud bagi memantapkan lagi konsep 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca resolusi-resolusi pergerakannya pada Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Tiada ulasan: