Ahad, 4 Julai 2010

Pemuda lebih proaktif tarik pengundi muda

Pergerakan Pemuda UMNO akan mengambil langkah lebih proaktif dalam menarik pengundi muda di negara ini.

Naib Ketua pergerakan itu, Datuk Razali Ibrahim berkata, Pemuda akan mendekati golongan itu dalam memastikan kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

‘‘Dengan semangat dan perjuangan yang tinggi, kita akan berusaha menarik kira-kira lima juta pengundi muda untuk mendaftar di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

‘‘Cabaran kita untuk mendekati pengundi muda semakin mencabar dengan senario politik hari ini tetapi itu bukan alasan Pemuda untuk tidak mendekati mereka,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seputeh, dekat sini malam ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar; Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal dan Ketua Pemudanya, Mohd. Razlan Muhammad Rafii.

Menurut Razali, usaha untuk menarik golongan muda ini akan dilaksana melalui program-program Pemuda di seluruh negara.

“Kita yakin lebih ramai golongan itu akan mendaftar sebagai pengundi.

“Semua Ketua Pemuda negeri, bahagian dan cawangan harus melipatgandakan usaha untuk menarik sokongan mereka kepada UMNO dan Barisan Nasional,’’ jelasnya.

Tiada ulasan: