Isnin, 5 Julai 2010

Kenyataan Karpal penghinaan untuk Pas

Kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh menolak konsep negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas boleh disifatkan sebagai perbuatan menyimbah tuba dalam politik Pas.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kenyataan Karpal itu boleh dianggap satu penghinaan yang bukan sahaja dirasai oleh kepimpinan Pas terutamanya Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi juga orang Melayu dan umat Islam secara keseluruhannya.

''Kita bersimpati dengan apa yang dilakukan oleh DAP ke atas Pas kerana jelaslah ia memaparkan sikap DAP yang mula menunjukkan wajah sebenar apabila memperolehi sedikit kuasa.

''Selama ini Pas sanggup menggadaikan perjuangan negara Islam dan menukarkannya kepada negara berkebajikan kerana ingin berbaik dengan DAP tetapi DAP hanya 'bermain wayang' sehingga melakukan penghinaan kepada Pas seperti mana dilakukan oleh Karpal

''Mereka lupa atau sengaja melupakan bahawa Pas juga banyak menyumbang kepada kejayaan politik mereka termasuk menjadi 'pengikut' kepada pemerintahan DAP di Perak sewaktu pemerintahan sementara di negeri itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan terbaru Karpal yang menyatakan Pas perlu menghormati DAP berhubung pendirian parti itu menolak konsep negara Islam.

Reezal Merican seterusnya berkata, apa yang berlaku ini, hanya membayangkan sikap perkauman dan mega prasangka DAP kepada mana-mana parti politik yang mewakili kaum lain.

''Ini juga membayangkan cakap-cakap 'kepimpinan Khalifah Umar' di dalam DAP sebagai omong kosong dan mainan politik yang memualkan.

''Apa pun, Pas tidak layak dilayan sedemikian hina oleh DAP. Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam; menidakkan niat 'negara Islam' Pas adalah dengan sendiri menidakkan - peranan parti tersebut selama ini,'' katanya.

Sehubungan itu kata Reezal Merican, Pemuda UMNO mengajak kepimpinan Pas terutamanya Dewan Pemudanya untuk melihat kerangka politik secara lebih produktif demi masa depan rakyat khususnya umat Islam yang menjadi popularasi terbanyak di negara ini.

''Sebab itu kita menyambut baik saranan Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan yang mahu mengkaji semula kerjasama dengan DAP jika parti berkenaan tidak menghormati dasar Pas.

''Walaupun Pemuda UMNO dan Pas berada dalam spektrum ideologi berbeza namun kita dan Pas mempunyai 'kemuncak persamaan' yang lebih wajar dihargai dan dikongsi,'' katanya.

Tiada ulasan: