Ahad, 4 Julai 2010

Tindakan bawa PKR ke mahkamah buktikan Felda kukuh


Ahmad Maslan (tengah) diiringi Yahya Mat Ghani (kanan) beramah mesra dengan sebahagian jawatankuasa Puteri UMNO termasuk Nor Hazreena Mohd. Hashim (kiri) pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Nooradzrene Mohd. Noor

Tindakan Felda membawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke mahkamah dalam isu fitnah 'Felda Bankrap' akan membuka pekung untuk membuktikan parti berkenaan adalah pemfitnah terbesar.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini kerana Felda bukan sahaja mempunyai kedudukan kewangan yang cukup kukuh malah jumlah nilai asetnya boleh mencecah RM60 bilion jika 340,000 hektar tanah milik Felda dinilai dengan harga semasa.

Katanya, pihak PKR sebelum ini beria-ia mengatakan inilah peluang untuk mereka membongkar penyelewengan dalam Felda.

"Saya pula ingin menjawab bahawa inilah peluang Felda membongkar dan membuktikan bahawa PKR adalah parti pemfitnah terbesar.

"Tuduhan yang mereka sebut itu memang jelas tidak benar. Felda mempunyai kedudukan kewangan yang cukup kukuh kerana kita ada aset yang cukup besar, RM15 bilion aset itu adalah asset at cost. Bukan aset nilai semasa.

"Jika tanah yang 340,000 hektar itu dinilaikan dengan harga semasa, tentu nilai aset berkaitan mungkin tiga empat kali ganda daripada 15,000 juta (RM15 bilion)," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahya Mat Ghani dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu, Nor Hazreena Mohd. Hashim.

Ahmad berkata, Felda juga tidak akan bankrap kerana bukan sahaja tidak mempunyai banyak tanggungan malah daripada segi nisbah kewangan menunjukkan penyata kewangan yang amat sihat dengan jumlah RM12.2 bilion.

Dalam pada itu, Ahmad juga menolak dakwaan mengenai tender Felda yang dikatakan banyak dibolot oleh orang UMNO dan menjelaskan tender Felda merupakan tender terbuka dan semua orang Melayu yang berkelayakan boleh memohon dan mendapat tender tersebut.

Malah tegasnya, selain konsultan bertauliah dan profesional, terdapat juga sebuah jawatankuasa pelaburan untuk menimbang sebelum mengambil keputusan untuk melabur di mana-mana.

Tiada ulasan: