Ahad, 4 Julai 2010

Perubahan UMNO mesti pantas

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu perubahan dalam parti itu dilakukan dengan lebih pantas dan tidak boleh perlahan seperti manusia yang berjalan 'lenggang lenggok yang longlai'.

Beliau berkata, perubahan tersebut penting agar seiring dengan transformasi kerajaan dan sebagai persediaan UMNO menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, perubahan landskap politik kini menuntut perubahan dijalankan dengan pantas supaya UMNO dilihat masih relevan seiring perkembangan zaman.

''Walaupun transformasi yang kerajaan lakukan bergerak pantas, ia tidak seiring perubahan politik UMNO yang perlahan seperti lenggang lenggok yang longlai.

''Perubahan UMNO mesti cepat, soal yang penting adalah masa tidak menyebelahi kita, masa sudah agak terhad dan terbatas.

''Risiko hari ini adalah kita tak boleh rasa selesa, biasa dan keadaan sebegini tak boleh dibiarkan. Ini ancaman bagi kedudukan kita,'' katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; timbalannya, Ayub Jamil dan naib ketua bahagian itu, Ja'affar Hashim.

Muhyiddin berkata, perubahan yang terlalu perlahan dikhuatiri menimbulkan persepsi seolah-olah UMNO belum bangkit daripada 'tsunami' politik pada pilihan raya umum lalu sehingga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat lebih lantang menyuarakan perjuangan membela nasib orang Melayu.

Beliau menggesa usaha yang lebih agresif dijalankan dalam menambah bilangan ahli, jumlah pendaftar pemilih dan mencari jalan bagi mengatasi tanggapan silap terhadap UMNO.

Tambahnya, masalah dalaman parti juga tidak boleh dibiarkan berlarutan hanya kerana tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan yang telah dibuat, sebaliknya hubungan dalam parti perlu diperkukuhkan.

"Johor menjadi tumpuan parti lawan. Pembangkang sudah namakan siapa yang akan bertanding dan di kawasan mana. Mereka juga cuba membangkitkan kebencian terhadap kerajaan," katanya.

Sementara itu, ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong, beliau berkata, perjuangan membela nasib orang Melayu dan mendapatkan hak untuk kaum itu seperti termaktub dalam Perlembagaan, tidak boleh dianggap sebagai satu isu perkauman.

"DAP tuduh yang saya ultra Melayu. Mereka tanya saya Melayu dulu atau Malaysia dulu. Saya jawab Melayu dulu.

"Jika saya tanya Lim Kit Siang, Cina dulu atau Malaysia dulu. Semua orang tahu DAP adalah parti perkauman," katanya.

Tiada ulasan: