Isnin, 5 Julai 2010

Ahli baru UMNO perlu lalui proses penelitian

Penelitian terhadap latar belakang ahli UMNO yang baru perlu dilakukan di peringkat cawangan dan bahagian sebelum diterima menganggotai parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, walaupun pada dasarnya seseorang itu mendaftar untuk menjadi ahli UMNO kerana meyakini perjuangannya, penelitian perlu juga dilakukan.

Katanya, mustahil seseorang itu menyertai parti yang tidak disukainya dan pada masa sama sukar juga mengenal pasti sama ada ahli-ahli berkenaan mengundi Barisan Nasional (BN) atau parti lain pada pilihan raya.

"Ada juga yang menyertai UMNO setelah kecewa tidak diberi tempat dalam parti yang disertai sebelumnya atau sudah tidak lagi meyakini kepimpinan parti berkenaan," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir semalam yang mendakwa terdapat ahli-ahli parti pembangkang di Perak yang menggunakan taktik menyertai UMNO dengan tujuan memecah-belahkan parti itu.

Pihak tersebut dakwa Zambry, berbuat demikian kerana terdesak setelah ceramah politik mereka tidak mendapat sambutan manakala UMNO semakin mendapat sokongan rakyat.

Menurut Shafie, sekiranya terdapat ahli yang tidak setia dengan perjuangan parti, tindakan drastik seperti memecatnya perlu dilakukan oleh Lembaga Disiplin UMNO.

"Kesetiaan ahli kepada parti boleh dilihat sekiranya dia memberi ceramah dan sama-sama menyokong calon parti dalam pilihan raya atau menyumbang untuk kebaikan parti," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee mengingatkan supaya kepimpinan UMNO seluruh negara berhati-hati ketika memilih ahli baru.

"Kita mahukan ahli UMNO yang berkualiti sehingga boleh mempertahankan perjuangan parti dan bukan menjadi gunting dalam selimut.

"Sekiranya tindak tanduk seseorang ahli itu mirip perjuangan pembangkang maka adalah wajar tindakan memecatnya diambil dengan segera," katanya.

Tiada ulasan: