Ahad, 4 Julai 2010

Henti berbalah jika mahu menang

Ahli UMNO khususnya di peringkat bahagian dinasihatkan supaya menghentikan perbalahan sesama sendiri sekiranya mahu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pada masa ini terdapat sesetengah ahli UMNO di peringkat bahagian mahupun cawangan yang dilihat tidak bersatu malah bertelingkah ekoran mempunyai pendapat dan perjuangan berbeza.

''Budaya ini perlu dihakis dan daripada apa yang saya lihat, lawan kita hari ini bukannya pembangkang tetapi sebenarnya diri kita sendiri. Sebagai contoh di Kelantan baru-baru ini, satu bahagian tetapi mesyuarat bahagian ada dua.

''Ini membuktikan kita kena selesaikan masalah dalaman dahulu sebelum berhadapan dengan pihak lawan pada pilihan raya akan datang. Masa yang sepatutnya digunakan untuk berjuang terpaksa dihabiskan untuk menyelesaikan perbalahan antara kita," katanya.

Mohd. Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rasah di Nilai Spring Resort, Nilai dekat sini hari ini.

Menurutnya, masalah itu berlaku ekoran ahli berkenaan sudah lupa tentang erti perjuangan UMNO sebenar di tanah air ini.

''Perjuangan UMNO sebenar adalah bagi membela nasib rakyat dan paling utama memberi kesejahteraan kepada tanah air ini. Mereka sudah lupa tentang semua ini sehingga bergaduh antara satu sama lain," jelasnya.

Tiada ulasan: