Isnin, 5 Julai 2010

Suara Keadilan akan terus diterbit pada minggu ini

Lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan akan terus diterbitkan pada minggu ini biarpun permitnya tidak diperbaharui Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 30 Jun lalu.

Pengarah Strategi PKR, Tian Chua berkata, keputusan itu diambil kerana KDN belum memberi sebarang keputusan konkrit berhubung status pembaharuan permit akhbar berkenaan.

Jelasnya, KDN juga tidak pernah menyatakan bahawa permit penerbitan Suara Keadilan telah ditamatkan.

"Ia (Suara Keadilan) hanya tamat tempoh, tidak bermakna permitnya ditarik balik jadi berdasarkan kefahaman kami ia akan terus diterbitkan seperti biasa minggu ini," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

KDN dalam satu kenyataan pada Khamis lalu memberitahu, permit penerbitan Suara Keadilan tidak akan diperbaharui sehingga kementerian menerima penjelasan yang memuaskan berhubung penyiaran beberapa artikel termasuk yang terbaru bertajuk "Felda Bangkrap".

Felda juga telah memfailkan saman berjumlah RM200 juta ekoran penyiaran artikel yang didakwa bersifat fitnah tersebut.

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Azmin Ali pula mencadangkan usul tergempar untuk membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat.

"Kami berharap usul itu akan dilulus serta dibahaskan di Parlimen esok untuk kami (PKR) menerangkan perkara sebenar,'' tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak memberitahu, PKR sedia menghadapi Felda di mahkamah dan akan menyediakan bukti-bukti bagi menjelaskan penyiaran artikel tersebut

Tiada ulasan: