Ahad, 4 Julai 2010

Karpal minta Pas hormati DAP

Pas perlu menghormati DAP berhubung pendirian parti itu yang menolak konsep negara Islam.

Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan, Pas harus terima apa yang telah dinyatakannya beberapa kali sebelum ini berhubung isu tersebut.

‘‘Ini bukan isu sama ada Pas perlu berkompromi dengan perkara ini atau tidak, tetapi ia perlu diterima oleh Pas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu negara Islam yang kembali tercetus ekoran kenyataannya bahawa DAP tidak dapat menerima konsep negara Islam yang dibawa oleh Pas jika berjaya memerintah kelak.

Dalam pada itu katanya, Pas perlu menerima hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara sekular dan bukan negara Islam seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Bagaimanapun kata Karpal, walaupun kedua-dua parti itu berbeza pandangan dalam isu tersebut, hubungan mereka masih baik.

‘‘Kami berbeza dasar tetapi masih bersama atas isu-isu lebih penting seperti tanpa menyentuh isu-isu melibatkan dasar,” katanya.

Kenyataan Karpal yang menyifatkan konsep itu sebagai salah, disanggah oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kemudiannya mencabar beliau membuktikannya.

Namun di sebalik isu yang tercetus semula itu, Karpal berkata, hubungan antara DAP dengan Pas yang bersatu di bawah pakatan pembangkang sehingga kini masih baik walaupun mempunyai pendirian berbeza.

Sementara itu, beliau mencabar Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pergi ke Britain dan membawa pulang Raja Petra Kamaruddin ke negara ini untuk dibawa ke muka pengadilan.

Karpal mempersoalkan, mengapa Peguam Negara tidak berani berbuat demikian dengan mengambil tindakan mengekstradisi pengendali laman web Malaysia Today tersebut.

‘‘Jika kita tidak ada perjanjian ekstradisi dengan Britain, satu perjanjian dua hala boleh dibuat untuk mengekstradisikan Raja Petra,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gambar pertemuan pemimpin parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim bersama Raja Petra di United Kingdom yang disiarkan baru-baru ini.

Karpal berkata, tindakan Zaid bertemu dengan Raja Petra tidak menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang.

‘‘Jika saya sendiri ke Britain dan ingin berjumpa dengan Raja Petra tidak akan ada halangan.

Terpulang kepada Zaid untuk membantu siasatan terhadap Raja Petra,” ujarnya.

Tiada ulasan: