Ahad, 4 Julai 2010

Pemuda BN turun padang baiki rumah daif

Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) akan melancarkan program 'Jelajah Desa' bagi membaik pulih rumah keluarga miskin tegar di perkampungan terpencil di seluruh negara bermula akhir bulan ini.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, program yang membabitkan semua pergerakan Pemuda parti itu bertujuan meningkatkan keselesaan kepada golongan sasar supaya mereka dapat mendiami rumah yang lebih sempurna.

Katanya, program Jelajah Desa turut mendapat kerjasama Pusat GiatMara berikutan institusi latihan itu mempunyai tenaga pelatih dan kepakaran dalam bidang pembinaan yang dapat dimanfaatkan secara maksimum.

''Program bersama GiatMara itu sangat berkesan dalam membantu seberapa ramai golongan miskin tegar mendapat faedah hasil keprihatinan Pemuda BN.

''Rumah keluarga miskin akan dibaik pulih sepenuhnya melalui kepakaran pelatih GiatMara dengan peruntukan kira-kira RM10,000 sebuah,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyertai gotong-royong membaiki rumah seorang ibu tunggal, Rosiah Sani, 31, di Kampung Chatin Atas, Mentakab dekat sini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, program di Kampung Chatin itu merupakan perintis sebelum diperluaskan ke kawasan pedalaman, kampung baru, estet dan perkampungan Orang Asli.

Tambah beliau, pemimpin Pemuda BN seperti UMNO, MCA dan MIC diminta mengesan keluarga miskin tegar yang layak untuk dibaiki rumah mereka secara gotong-royong.

Bagi tujuan itu, katanya, pemimpin Pemuda BN perlu mendapat kerjasama ketua kampung untuk mendapat senarai keluarga termiskin di kawasan berkenaan bagi dipertimbangkan bantuan membaiki rumah.

''Pendekatan turun padang membantu golongan miskin didapati sangat berkesan dalam menghayati hati nurani rakyat yang memerlukan perhatian dan pertolongan kerajaan,'' katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menambah, program Jelajah Desa itu akan diadakan secara besar-besaran akhir bulan ini di seluruh negara dengan harapan tidak wujud lagi rumah daif yang tidak selamat didiami.

Beliau turut meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta membantu dari segi kepakaran dan kewangan supaya lebih banyak rumah keluarga miskin serta daif mendapat faedah daripada program itu.

Tiada ulasan: