Isnin, 5 Julai 2010

MCA belum bersedia jika pilihan raya September ini

MCA belum bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 jika ia diadakan pada September ini, kata Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Beliau berkata, MCA baru sahaja melalui krisis dalaman dan sedang melalui proses pemulihan, justeru parti itu tidak sempat untuk menyiapkan diri bagi menghadapi pilihan raya jika ia diadakan tahun ini.

Katanya, selain itu, MCA juga masih belum memikirkan mengenai calon-calon parti itu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Saya memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun untuk menyatupadukan ahli-ahli bagi memastikan parti berupaya meneruskan perjuangannya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas khabar angin mengenai pilihan raya mungkin akan diadakan September ini.

Soi Lek hari ini genap 100 hari menyandang jawatan tertinggi dalam MCA selepas menangdalam pemilihan semula parti yang diadakan Mac lalu.

Bagaimanapun, Soi Lek percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mungkin memilih untuk mengadakan pilihan raya pada masa tersebut.

Sementara itu, katanya, walaupun berhadapan cabaran besar untuk menyatupadukan ahli, namun keadaan MCA termasuk di cawangan-cawangan dilihat semakin stabil dan perpaduan antara ahli-ahli juga sudah semakin pulih.

Katanya, sehubungan itu, beliau akan terus meminta pemimpin-pemimpin parti itu agar memainkan peranan yang relevan untuk membantu memenuhi permintaan dan keperluan semua kaum di negara ini.

"MCA kini tidak boleh lagi hanya memberi tumpuan kepada masyarakat Cina tetapi perlu melakukannya untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum,'' katanya.

Tiada ulasan: