Ahad, 4 Julai 2010

Pemimpin sayap diingat jangan harap jawatan kerajaan

Para pemimpin sayap UMNO diingatkan agar tidak mengharapkan sebarang imbuhan berbentuk jawatan dalam kerajaan seperti menteri dan timbalan menteri selepas diberi kepercayaan untuk menerajui parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mereka sepatutnya kembali pada asas perjuangan sayap agar dapat terus menjalankan tugas yang diamanahkan dengan ikhlas.

Beliau berkata, ahli-ahli sayap juga diminta memahami dan tidak kecewa apabila ketua mereka tidak mendapat jawatan dalam kerajaan kerana mereka mungkin ada tugas lain yang akan diberikan kelak.

‘‘Bukan semestinya mereka yang dilantik mengetuai sayap diberi jawatan kerana jawatan itu adalah hak Perdana Menteri. Bukan jawatan dalam parti yang akan tentukan jawatan kita dalam kerajaan, ini mereka mesti faham.

‘‘Kalau pada masa akan datang Ketua Pemuda akan dilantik (jawatan kerajaan) kita tak tahu, tetapi setakat ini jika tidak dilantik barangkali ada tugas lain.

‘‘Masa saya jadi Ketua Pemuda dulu pun, saya tak ada jawatan dalam kerajaan. Saya tak bising pun dan saya masih berkhidmat sehingga hari ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar Kali Ketujuh di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo; Ahli Parlimen Sungai Besar, Noriah Kasnon dan beberapa pemimpin UMNO Bahagian di Selangor.

Sehubungan itu Tengku Adnan berkata, pemimpin dan ahli sayap UMNO diminta tidak terlalu memikirkan masalah jawatan yang hanya akan merosakkan parti.

Tiada ulasan: