Khamis, 17 Jun 2010

62% pengundi atas pagar - Khairy

KUALA LUMPUR 17 Jun – Pemuda Barisan Nasional (BN) mendapati kira-kira 62 peratus golongan muda masih tidak membuat keputusan mengenai parti pilihan mereka untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dicapai ketika menjalankan kajian ke atas kira-kira 1,000 golongan muda dari seluruh negara dua bulan lalu.

Menurutnya, beliau mendapati kebanyakan mereka khususnya dari kawasan pedalaman masih berada di atas pagar dan hanya akan membuat keputusan pada hari pilihan raya sahaja.

“Bagi membanteras gejala ini, Pemuda BN sudah pun menjalankan beberapa aktiviti sejak kebelakangan ini. Antaranya, jelajah 1Malaysia dan Rally 1Malaysia untuk mendampingi golongan muda bagi melahirkan sentimen BN di kalangan mereka.

“Setakat ini kami melihat sedikit peningkatan dalam sokongan yang diberikan oleh penduduk di negara ini terhadap kerajaan dan BN. Ia telah pun terbukti ketika menghadapi pilihan raya kecil di Kelantan dan Selangor baru-baru ini,’’ katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) di sini hari ini.

Tiada ulasan: