Ahad, 20 Jun 2010

Tawaran RM2juta - Hishammuddin cabar Anwar

KLUANG 20 Jun - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menjelaskan sama ada bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang rapat dengannya tetapi bukan wakil rakyat turut ditawarkan RM2 juta untuk meninggalkan parti itu.

Menurut Hishammuddin, antara bekas pemimpin PKR yang dimaksudkannya adalah Dr. Halili Rahmat, Dr. Chandra Muzaffar dan Sallehuddin Hashim.

"Kesemua mereka mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, tetapi mereka bukan wakil rakyat.

"Saya nak tanya, dan kita semua hendak tahu, sama ada tuduhan yang serupa turut dilemparkan terhadap mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat UMNO bahagian Sembrong di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cabaran Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang memberikan tempoh selama 48 jam kepada Anwar untuk mendedahkan bukti berhubung dakwaannya bahawa bekas wakil rakyat PKR menerima RM2 juta untuk keluar daripada parti pembangkang itu.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya menyedari bahawa peringkat akar umbi kurang menyenangi tindakan 'defensif' pihak UMNO terhadap pelbagai kenyataan pembangkang yang memperlekehkan pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Ditanya, adakah UMNO akan memberi tindak balas yang lebih agresif selepas ini, Hishammuddin berkata: "Jika mereka (pembangkang) cuba putar belit fakta, kita akan berikan fakta yang sebenarnya, supaya semua orang tahu".

Bagaimanapun, katanya, peringkat akar umbi UMNO hanya menunggu arahan, petunjuk dan petanda daripada kepimpinan parti berhubung tindakan yang dilakukan pembangkang itu. --

Tiada ulasan: