Isnin, 28 Jun 2010

Krisis kepimpinan PKR jejas pentadbiran

SHAH ALAM 28 Jun - Kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sekarang ibarat satu pasukan bola sepak yang mempunyai tiga kapten dan ia jelas akan mengucar-ngacirkan pentadbiran negeri itu.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khir Toyo berkata, pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor menggantikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mewujudkan seorang lagi kapten yang menguruskan soal parti di negeri itu.

Sebelum ini jelas Mohamad Khir, pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi negeri jelas melangkaui kepakaran Abdul Khalid sebagai seorang ahli korporat yang pernah menjadi ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat milik kerajaan (GLC).

''Pelantikan Azmin mewujudkan tiga kapten dalam PKR Selangor, Anwar sebagai kapten yang menjaga ekonomi, Abdul Khalid menjaga pentadbiran kerajaan negeri dan Azmin menjadi kapten yang menjaga parti.

''Krisis dalaman PKR hingga membawa kepada pelantikan Azmin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri tidak mampu disembunyikan lagi di mata rakyat negeri Selangor," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pelantikan Azmin itu diumumkan semalam berkuat kuasa serta merta sekali gus memberi tamparan hebat terhadap corak pentadbiran Menteri Besar yang sudah dua tahun memimpin Selangor.

Walaupun Abdul Khalid mendakwa perkara itu atas permintaannya, tetapi bagi pemerhati politik dan beberapa pihak, ia menunjukkan Menteri Besar cuba diketepikan setelah tidak lagi mendapat kepercayaan Anwar untuk mentadbir PKR dan negeri ini yang semakin goyang.

Mohamad Khir menegaskan, jika Abdul Khalid tidak lagi menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, ia jelas menunjukkan kepada rakyat bahawa pentadbiran negeri diketuai oleh pentadbir yang tidak mendapat sokongan penuh dari akar umbi parti.

Tambah beliau, rakyat Selangor akan menderita jika Menteri Besar tidak mendapat sokongan kerana akan menyebabkan pembangunan ekonomi negeri menjadi tidak stabil.

''Politiking akan berlaku terus-terusan kerana penyokong Abdul Khalid sudah pasti tidak berpuas hati dengan pelantikan Azmin.

''Rakyat perlu sedar jika Abdul Khalid tidak mendapat sokongan dari parti sendiri, kedudukan beliau di dalam kerajaan negeri sudah pasti dibayangi oleh Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri dan Penasihat Ekonomi," katanya

Mohamad Khir berkata, antaranya mesyuarat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sendiri dihadiri oleh Anwar dan bukannya Abdul Khalid yang jelas menunjukkan pentadbiran negeri tidak dikuasai sepenuhnya oleh Menteri Besar.

Tiada ulasan: