Khamis, 17 Jun 2010

Pilihanraya bersandar kehendak rakyat

NUSAJAYA 17 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berpendapat, keperluan untuk mengadakan pilihan raya bersandarkan kepada kehendak rakyat yang mengundi.

“Sekiranya apa yang Barisan Nasional (BN)) janjikan itu dapat ditunaikan dan rakyat dapat merasainya, esok pun boleh buat pilihan raya.

“Kehendak rakyat dan keperluan golongan itu merupakan cerminan keadaan sebenar mereka yang dipimpin dan perlu diambil kira oleh wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat sempena lawatan ke Iskandar Malaysia yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum berdasarkan pendapat bahawa tahap kepuasan rakyat terhadap kepimpinannya semakin meningkat ketika ini.

Beliau berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak berhak untuk membuat keputusan sama ada perlu atau tidak pilihan raya diadakan awal.

Semalam Perdana Menteri berkata, tarikh pilihan raya akan datang akan ‘mengejutkan semua pihak’.

Dalam pada itu Hishammuddin menjelaskan, ahli BN Johor telah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang kemungkinan apabila pilihan raya umum diadakan.


Tiada ulasan: